New York benarkan buka pelitup muka sekiranya sudah divaksinasi
Astro Awani
Mei 17, 2021 06:27 MYT
Mei 17, 2021 06:27 MYT
NEW YORK: Warga New York, Amerika Syarikat yang telah divaksinasi dibenarkan untuk tidak memakai pelitup muka sama ada semasa berada di luar bangunan atau di dalam bangunan.
Gabenor New York, Andrew Cuomo dalam pengumumannya berkata perkara itu dilakukan demi mempercepatkan pembukaan semula negara berkenaan.
Jelas Cuomo, New York akan mengaplikasikan panduan baharu mengenai pemakaian pelitup muka yang dikeluarkan Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) minggu lalu.
"Berkuat kuasa Rabu ini, kami akan menggunakan panduan dan peraturan baharu CDC mengenai pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial bagi mereka yang telah diberi vaksin.
"Di bawah peraturan dikeluarkan CDC, mereka yang mempunyai sistem imun defektif atau tidak divaksinasi harus kekal memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial.
"Tetapi mereka yang telah diberi vaksin, mereka dibenarkan untuk tidak memakai pelitup muka dan tidak amalkan penjarakan fizikal," katanya.
Bagaimanapun pemakaian pelitup muka tetap diperlukan dalam keadaan tertentu seperti di sekolah dan rumah jagaan.
Pada masa sama, Cuomo berkata, terpulang kepada premis perniagaan dan kawasan untuk menentukan bagaimana mereka memeriksa status vaksinasi seseorang individu itu.
Warga New York ketika ini menggunakan aplikasi telefon pintar New York State Excelsior Pass untuk membuktikan status vaksinasi mereka.
#COVID-19
#New York
#pelitup muka
#vaksin
#Andrew Cuomo
#sudah divaksinasi
#Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit
#CDC