New Jersey mansuh keperluan pakai pelitup muka di sekolah

Astro Awani
Februari 8, 2022 10:19 MYT
Phil Murphy bercakap pada satu taklimat media di Trenton, New Jersey, 7 Feb 2022.
GABENOR New Jersey telah menarik balik keperluan memakai pelitup muka di semua sekolah di negeri itu bermula awal bulan depan.
Gabenor Demokrat Phil Murphy membuat pengumuman berkenaan pada Isnin di mana pemakaian pelitup muka di sekolah diumumkan berakhir pada 7 Mac.
Pengumuman itu juga sebagai langkah besar ke arah kembali normal sebaik lonjakan varian Omicron semakin berkurangan.
"Kita tidak akan dapat menurunkan kes kepada sifar. Kita perlu belajar hidup bersama COVID-19 semasa kita beralih daripada pandemik kepada fasa endemik.
"Yang pasti, kita telah lama mengetahui perkara ini dan optimis memandangkan penurunan tahap varian baharu ini dan peningkatan berterusan dalam vaksinasi, akhirnya kami menghampiri titik perubahan ini.
"Saya telah mengatakan berkali-kali bahawa kita melakukan tindakan bersandarkan kepada jangkitan wabak itu.
"Mandat topeng telah menjadi sebahagian daripada pendekatan untuk memastikan sekolah kita tetap terbuka dengan selamat kerana kita tahu bahawa pembelajaran jarak jauh tidak mencukupi untuk pembelajaran seseorang pelajar.
"Kita telah mencuba, seperti yang telah dikatakan berkali-kali, bertindak mengikut situasi semasa dengan tidak meremehkannya, meletakkan nyawa dalam risiko atau mengatasinya, hanya menambah kesihatan mental dan tekanan yang kita tahu wujud," kata Murphy.
Bagaimanapun, sekolah-sekolah persendirian bebas untuk meneruskan pemakaian pelitup muka.
New Jersey adalah salah satu daripada 12 negeri yang mengadakan mandat pelitup muka di sekolah.
Menurut akademi kebangsaan untuk dasar kesihatan negeri, peraturan di New Jersey telah dilaksanakan sejak kelas bersemuka disambung semula pada September 2020.
#pelitup muka #sekolah #New Jersey #Phil Murphy
;