New Delhi terus bergelut dengan pencemaran udara
Bernama
November 13, 2023 17:28 MYT
November 13, 2023 17:28 MYT
NEW DELHI: New Delhi terus bergelut dengan masalah pencemaran udara, diburukkan lagi dengan sikap orang ramai yang tidak mengendahkan larangan bermain bunga api semasa sambutan Deepavali.
Tahap pencemaran udara meningkat ke paras berbahaya di ibu negara India itu, dengan asap tebal turut menyelubungi beberapa bandar, termasuk bandar Faridabad, Gurugram, Ghaziabad dan Noida.
Indeks Kualiti Udara pada Isnin menunjukkan peningkatan bahan bertoksik dalam tempoh semalaman.
"Satu-satunya sebab mengapa tahap pencemaran meningkat hari ini adalah kerana pembakaran mercun dan bunga api," kata Menteri Alam Sekitar New Delhi Gopal Rai.
Agensi kawalan pencemaran baru-baru ini mengumumkan larangan menyeluruh terhadap pembuatan, penyimpanan atau penjualan mercun di seluruh bandar sehingga 1 Jan.
Mahkamah Agung India juga telah mengenakan sekatan terhadap mercun tetapi arahan itu tidak dipatuhi.
Tahap pencemaran udara meningkat setiap kali musim sejuk di wilayah di New Delhi kerana suhu lebih sejuk memerangkap bahan bertoksik.
Kegiatan industri, asap daripada berjuta-juta kenderaan, debu akibat aktiviti pembinaan, pembakaran sisa pertanian di negeri jiran dan pengurusan sisa perbandaran yang lemah turut menyumbang kepada krisis alam sekitar.
Kerajaan tempatan baru-baru ini mengenakan larangan ke atas trak diesel untuk memasuki New Delhi dan menutup sekolah sehingga 18 November berikutan peningkatan tahap pencemaran udara.
-- BERNAMA