New Delhi, Beijing setuju gandakan usaha selesai pertikaian wilayah - Menteri India
Bernama
Julai 4, 2024 18:40 MYT
Julai 4, 2024 18:40 MYT
MOSCOW: India dan China telah bersetuju untuk memperkukuh mesyuarat di peringkat diplomatik dan ketenteraan bagi menyelesaikan baki pertikaian wilayah di kawasan sempadan, kata Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar pada Khamis, selepas pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi, di Astana, menurut Sputnik.
Mesyuarat Majlis Ketua Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) berlangsung di ibu negara Kazakhstan, Astana dari 3 hingga 4 Julai.
"Bertemu dengan ahli Politburo Parti Komunis China (CPC) dan Menteri Luar Wang Yi di Astana pagi ini. Membincangkan penyelesaian awal isu-isu yang masih ada di kawasan sempadan. Bersetuju untuk menggandakan usaha melalui saluran diplomatik dan ketenteraan untuk tujuan itu. Menghormati Garis Kawalan Sebenar (LAC) dan memastikan keamanan dan ketenteraman di kawasan sempadan adalah penting," catat Jaishankar di platform media sosial X.
Kedua-dua pihak mengulangi komitmen mereka untuk saling menghormati, kepekaan dan kepentingan bersama, tambah menteri itu.
India dan China terlibat dalam beberapa pertikaian mengenai tanah sepanjang sempadan 2,200 batu mereka terutamanya di wilayah Himalaya Ladakh, yang juga sebahagiannya dituntut oleh Pakistan. India dan China berperang di wilayah itu pada 1962, diikuti dengan pertempuran maut pada 2020.
Pada 2021, kedua-dua negara merundingkan pengunduran tentera secara beransur-ansur dan dua hala dari sempadan tidak rasmi yang dikenali sebagai LAC. Walaupun rundingan diteruskan, sebanyak 50,000-60,000 tentera masih ditempatkan di kedua-dua belah sempadan India-China di Himalaya.
Sementara itu, pemimpin negara anggota SCO mengesahkan komitmen mereka terhadap penyelesaian pertikaian secara aman, menurut Deklarasi Astana Majlis Ketua Negara SCO yang diterima pakai pada Khamis.
"Mereka menegaskan semula komitmen mereka terhadap penyelesaian damai perbezaan dan pertikaian antara negara melalui dialog dan perundingan. Negara anggota tidak boleh mengambil bahagian dalam penerimaan apa-apa keputusan yang bertujuan untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," menurut dokumen itu.
-- BERNAMA