Netizen China kecam ucapan Tahun Baharu Cina PM Kanada

Agensi
Februari 7, 2019 15:00 MYT
Ucapan Trudeau mendapat kritikan di laman sosial Weibo. -AP
VIDEO ucapan Selamat Tahun Baharu Cina yang dimuat naik Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mendapat kritikan di laman sosial Weibo, ketika hubungan Beijing dan Ottawa tegang susulan penahanan eksekutif Huawei di Vancouver pada 1 Disember lepas.
Beijing menuntut pembebasan segera Ketua Pegawai Kewangan, Sabrina Meng Wanzhou yang dituduh melakukan penipuan berkaitan pelanggaran sekatan AS terhadap Iran.
Penahanan Meng dan permintaan ekstradisi AS telah mencetuskan krisis diplomatik. Kanada berkata 13 rakyatnya, termasuk bekas diplomat Michael Kovrig dan ahli perniagaan Michael Spavor, telah ditahan Beijing sejak Meng diberkas.
Kerajaan Kanada mengeluarkan amaran perjalanan kepada warganya ke China bulan lalu selepas mahkamah China menjatuhkan hukuman mati kepada seorang rakyat Kanada, Robert Lloyd Schellenberg, atas kesalahan mengedar dadah.
Ia disusuli dengan China mengeluarkan amaran perjalanan ke Kanada kepada rakyatnya.
Video Trudeau, yang dimuat naik semula oleh kedutaan Kanada di Beijing telah menarik lebih 4,000 komen.
Antara yang dibangkitkan netizen adalah bagaimana Trudeau sepatutnya meletakkan terjemahan dalam bahasa Kantonis, manakala sebahagian lagi menumpukan kepada isu Huawei.
"Tolong bebaskan Meng dengan segera," tulis seorang pengguna.
#AS #Beijing #China #Huawei #Justin Trudeau #Kanada #laman sosial #Perdana Menteri #PM #Tahun Baru Cina #video
;