Netizen berderai air mata tonton ucapan terakhir Barack Obama
Kohilah Sekaran
Januari 11, 2017 13:16 MYT
Januari 11, 2017 13:16 MYT
Hashtag #ObamaFarewell mula trending di media sosial susulan ucapan terakhir Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Chicago, sebentar tadi.
Pada 20 Januari ini, Donald Trump akan mengambil alih Rumah Putih dan akan berperanan sebagai Presiden terbaharu negara itu.
Seperti biasa, ucapan Obama mendapat pujian netizen terutamanya apabila beliau menyentuh isu diskriminasi terhadap Muslim dan juga isu minoriti.
Obama berkata beliau menolak diskriminasi ke atas Muslim Amerika kerana mereka juga berpatriotik seperti rakyatnya yang lain.
Tambah beliau, perubahan dalam sesebuah negara hanya akan berlaku apabila rakyat biasa melibatkan diri, berhubung dan bersama-sama menuntut perubahan yang berlaku.
Sementara itu, penyokong Demokrat merakamkan penghargaan mereka kepada Obama atas lapan tahun pentadbirannya.
Menurut mereka, Obama merupakan seorang presiden yang berbudi bahasa, berkarisma dan peramah yang pernah dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Tambah netizen, ucapan Obama itu merupakan contoh ucapan seorang presiden yang berkaliber.
"Ingat ucapan ini, Amerika. Ini akan menjadi ucapan Presiden yang terakhir yang jelas, berbudi bahasa, dan menghubungkan," kata seorang netizen bernama Chris Kagarise.