Netanyahu tolak permintaan Biden redakan ketegangan di Gaza

Bernama
Mei 20, 2021 13:16 MYT
Benjamin Netanyahu ketika mengadakan taklimat kepada para duta ke Israel di pangkalan tentera udara Hakirya di Tel Aviv, 19 Mei, 2021. (Foto AP)
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Rabu menolak permintaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk meredakan ketegangan di Semenanjung Gaza dan menegaskan serangan ketenteraan tetap akan diteruskan, lapor Agensi Anadolu.
"Operasi itu akan diteruskan sehingga tujuannya tercapai," menurut kenyataan pejabatnya.
Netanyahu berkata serangan itu akan dipertingkatkan lagi "untuk mengembalikan ketenangan dan keamanan" kepada Israel.
Pada Rabu, Rumah Putih berkata Biden berharap Netanyahu akan meredakan ketegangan di Semenanjung Gaza.
"Presiden memberitahu perkara itu kepada perdana menteri, berharap ketegangan dapat diredakan dalam usaha menuju gencatan senjata," kata jurucakap Karine Jean-Pierre.
Sekurang-kurangnya 227 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 64 kanak-kanak dan 36 wanita, dan 1,620 yang lain cedera dalam serangan Israel di wilayah yang dikepung sejak 10 Mei, menurut Kementerian Kesihatan.
-- BERNAMA
#Israel #Gaza #Palestin #serangan #Joe Biden #Benjamin Netanyahu #Amerika Syarikat #cedera #operasi
;