Netanyahu tolak inisiatif gencatan senjata Mesir di Gaza

Bernama
Oktober 28, 2024 12:10 MYT
Netanyahu (foto) menolak cadangan gencatan senjata dua hari oleh Mesir yang melibatkan pertukaran tawanan antara Israel dan Hamas. -Gambar fail/Reuters
BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak inisiatif yang dicadangkan oleh Mesir pada Ahad untuk gencatan senjata jangka pendek dengan Hamas di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Ringkasan AI
  • Netanyahu menolak cadangan gencatan senjata dua hari oleh Mesir yang melibatkan pertukaran tawanan antara Israel dan Hamas.
  • Walaupun kebanyakan menteri dan pihak keselamatan Israel menyokong cadangan tersebut, Netanyahu menegaskan rundingan hanya boleh berlaku semasa serangan masih berjalan.
  • Serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengakibatkan hampir 43,000 kematian dan lebih 100,000 kecederaan, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi mengumumkan cadangan itu, menurut media Israel.
"Kami mencadangkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza selama dua hari untuk menukar empat tawanan (Israel) dengan beberapa tahanan (Palestin).
"Dan kemudian rundingan akan berlangsung selama 10 hari untuk menjadikan gencatan senjata itu satu perjanjian kekal," kata Al-Sisi semasa sidang media bersama Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune di ibu negara, Kaherah.
Walaupun kebanyakan menteri Israel menyokong cadangan Mesir, Tel Aviv menolak perjanjian itu disebabkan bantahan daripada Netanyahu yang menegaskan bahawa "rundingan hanya akan berlaku ketika serangan masih berjalan", menurut saluran Israel Channel 12.
Saluran itu turut mengesahkan bahawa pihak keselamatan Israel juga menyokong cadangan berkenaan.
Israel menganggarkan bahawa kira-kira 101 warganya masih ditahan oleh kumpulan Hamas di Gaza di tengah-tengah kebimbangan bahawa sebahagian daripada mereka mungkin telah terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan padat penduduk itu.
Usaha yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar untuk mendapatkan gencatan senjata serta memudahkan pertukaran tahanan di antara Israel dan Hamas setakat ini terhenti apabila Netanyahu enggan mempertimbang untuk menamatkan konflik.
Tentera Israel meneruskan serangan besar-besraan ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera.
Hampir 43,000 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 100,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
-- BERNAMA
#Benjamin Netanyahu #gencatan senjata #Mesir #Palestin
;