Netanyahu tidak lakukan usaha yang cukup dalam perjanjian tebusan - Biden
Agensi
September 2, 2024 06:30 MYT
September 2, 2024 06:30 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Isnin mengkritik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang didakwa beliau tidak mengambil usaha yang mencukupi untuk mencapai persetujuan perjanjian pembebasan tebusan yang ditawan pasukan pejuang Palestin, Hamas.
Ditanya oleh pemberita di White House - di mana Biden tiba untuk pertemuan dengan perunding AS – sama ada beliau berpendapat pemimpin Israel itu telah mengambil usaha yang memadai, Presiden AS menjawab: "Tidak."
Pertemuan Biden dengan perunding mengenai perjanjian pembebasan tebusan itu diadakan selepas kematian enam tebusan di Gaza pada hari Sabtu, termasuk seorang warganegara AS.
Menurut Presiden Biden, perunding "sangat hampir" dengan cadangan muktamad untuk dibentangkan kepada Israel dan Hamas.
Jadual Biden telah disusun atur semula bagi membolehkan beliau meluangkan masa menghadiri mesyuarat di White House yang juga akan dihadiri oleh Naib Presiden, Kamala Harris, yang bertanding untuk menggantikannya dalam pemilihan presiden November.
White House dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, Biden dan Harris akan bertemu "dengan pasukan perunding perjanjian tebusan AS berikutan pembunuhan warga Amerika Hersh Goldberg-Polin dan lima tebusan lain oleh Hamas pada Sabtu dan membincangkan usaha untuk memacu ke arah perjanjian yang menjamin pembebasan tebusan yang tinggal".
AS bersama rakan pengantara Mesir dan Qatar telah menghabiskan masa berbulan-bulan mendesak pertukaran tebusan dan gencatan senjata dalam perang di Gaza.
Pasukan Hamas didakwa menawan 251 tebusan semasa serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Puluhan tebusan telah dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada bulan November.
Mahkamah Israel pada Isnin mengarahkan demonstrasi dan tunjuk perasaan yang disifatkan terbesar oleh kesatuan negara itu dihentikan.
Demonstrasi mega itu diadakan di seluruh Israel bertujuan meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Netanyahu untuk mendapatkan pembebasan baki tebusan.
Saudara-mara tebusan dan peguam menuduh pentadbiran Netanyahu tidak melakukan usaha yang cukup untuk mengembalikan tawanan secara hidup dan menggesa gencatan senjata segera.
Selain tebusan, serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 mengakibatkan 1,205 orang, kebanyakannya orang awam.
Tindak balas rejim Zionis ke atas Palestin pula mengorbankan lebih 40,786 rakyat Palestin dalam kempen ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza sejak perang mula tercetus.
Kebanyakan yang maut di Palestin ialah wanita dan kanak-kanak, menurut pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Agensi