Netanyahu tiba di White House untuk bertemu Trump
Agensi
Februari 4, 2025 06:50 MYT
Februari 4, 2025 06:50 MYT
WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tiba di White House, di sini, hari ini (Selasa, waktu tempatan) untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Kunjungan Netanyahu ke White House menjadikan beliau pemimpin asing pertama yang melawat AS dalam penggal kedua pentadbiran Trump.
Kedua-dua pemimpin berkenaan akan mengadakan mesyuarat dua hala sebelum mengadakan sidang media bersama.
Lawatan ini diadakan pada saat genting bagi perjanjian gencatan senjata di Gaza – perjanjian awal selama enam minggu yang menghentikan 15 bulan peperangan antara Israel dan Hamas - yang mana Trump mendakwa sebagai kejayaannya.
Netanyahu, yang sedang berdepan cabaran untuk mengekalkan kuasa di Israel menegaskan, perjanjian Gaza ini hanyalah sementara dan Israel masih mempunyai "hak untuk kembali berperang."
Kedua-dua pemimpin ini merupakan sekutu rapat semasa penggal pertama Trump, apabila Presiden AS itu memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis, satu langkah yang dikutuk oleh rakyat Palestin dan pihak lain. - Agensi