Netanyahu terima sorakan ‘boo’ daripada keluarga tebusan Israel
Agensi
Disember 25, 2023 06:45 MYT
Disember 25, 2023 06:45 MYT
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjadi mangsa lepas geram keluarga tebusan yang ditahan kumpulan pejuang Hamas di Gaza, pada Isnin.
Ketika berucap di Parlimen, Netanyahu telah menerima sorakan boo daripada ahli keluarga tebusan yang berang dengan beliau.
Sebelum itu, Netanyahu dalam ucapannya berikrar untuk membawa pulang tebusan berkenaan tetapi memerlukan lebih banyak masa.
Bagaimanapun, ikrar yang dilaungkan pemimpin Israel itu dibalas dengan rasa tidak puas hati keluarga tebusan.
"Sekarang! Sekarang!" laung keluarga tebusan terbabit dari ruang galeri, ketika Netanyahu menegaskan, rejim Zionis perlu meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap kumpulan pejuang Hamas terlebih dahulu.
Ucapan itu dikeluarkan Netanyahu sejurus beliau baru pulang dari Gaza.
"Kita akan terus meningkatkan serangan. Ia akan menjadi perang panjang yang jauh lagi daripada berakhir," kata Netanyahu dalam kenyataan yang dikeluarkan parti pimpinannya, Likud. - Agensi