Netanyahu rancang jumpa Trump, sifatkan “hari terbaik” mereka berdua akan tiba

Agensi
Januari 20, 2025 06:40 MYT
Netanyahu (kanan) merancang untuk melawat Washington dan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47 yang baru mengangkat sumpah, Trump "dalam beberapa minggu akan datang."
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu merancang untuk melawat Washington dan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47 yang baru mengangkat sumpah, Donald Trump "dalam beberapa minggu akan datang," kata seorang pegawai Israel kepada CNN.
Kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan normalisasi hubungan Israel dengan Arab Saudi, program nuklear Iran serta gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan yang sedang berlangsung, tambah pegawai itu.
CNN telah menghubungi pihak pentadbiran Trump untuk mendapatkan komen.
Dalam perkembangan sama, Netanyahu mengucapkan tahniah kepada Trump atas pelantikannya untuk penggal kedua, sambil berkata dalam kenyataan video bahawa “hari terbaik dalam hubungan kita masih akan tiba.”
“Penggal pertama anda sebagai Presiden penuh dengan detik-detik bersejarah,” kata Netanyahu, sambil menyenaraikan beberapa pencapaian utama Trump semasa penggal pertamanya, termasuk pemeteraian Abraham Accords yang menormalkan hubungan diplomatik antara Israel dengan Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.
“Anda menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran yang berbahaya, anda mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, anda memindahkan kedutaan Amerika ke Baitulmaqdis dan anda mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan,” katanya.
“Saya yakin kita akan melengkapkan usaha untuk mengalahkan paksi keganasan Iran dan membawa era baru keamanan dan kemakmuran untuk wilayah kita,” kata Netanyahu.
Netanyahu turut berterima kasih kepada Trump atas bantuannya dalam memeterai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan dengan Hamas. - CNN
#Donald Trump #Presiden AS ke-47 #Benjamin Netanyahu #Israel
;