Netanyahu lancar perang di Gaza atas dasar "kepentingan peribadi" - Bekas PM Israel

Agensi
April 10, 2024 08:00 MYT
Ehud Olmert percaya penggantinya Benjamin Netanyahu menjalankan pakatan pemerintahannya dan peperangan di Gaza atas "dasar kepentingan peribadi" dan untuk terus berkuasa. - Gambar fail REUTERS
TEL AVIV: Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert percaya penggantinya Benjamin Netanyahu menjalankan pakatan pemerintahannya dan peperangan di Gaza atas "dasar kepentingan peribadi" dan untuk terus berkuasa, lapor portal berita CNN pada Isnin.
"Atas dasar kehendak peribadi dengan mengorbankan kepentingan negara, yang pada pandangan saya sejak sekian lama, juga sangat jelas kepada sesiapa sahaja yang pernah berurusan dengannya (sejak perang meletus 7 Oktober lalu)," kata Olmert dalam wawancara bersama penyampai CNN, Jeremy Diamond.
"Seperti yang disebut (Menteri Dalam Negeri) Itamar Ben Gvir jika anda tidak menyerang Rafah, maka dia (Netanyahu) akan menjatuhkan kerajaan," dakwa Olmert lagi.
Pada Isnin, Netanyahu berkata, tarikh serangan ke atas Rafah telah ditetapkan.
Pengumuman tersebut dibuat selepas Ben Gvir berkongsi hantaran di X bahawa jika Netanyahu meninggalkan rancangan untuk serangan darat di Rafah, dia mungkin kehilangan sokongan pakatan yang membolehkannya kekal berkuasa.
Menghadapi protes yang semakin meningkat terhadap kerajaan, Netanyahu dan gabungannya telah bersatu dan mempertahankan kuasa.
Bagaimanapun, Olmert berpendapat, sikap penggantinya itu dalam menghadapi tekanan antarabangsa yang juga semakin meningkat termasuk dari sekutu Israe, Amerika Syarikat hanya akan membawa kepada kejatuhannya.
“Kesan daripada tekanan dari Amerika yang dihadapinya, dengan cara yang saya fikir dia suka dilihat sebagai penentang Presiden Biden. Ia memainkan peranan kecenderungannya dalam politik Israel. Netanyahu mempunyai keperluan ini untuk menunjukkan bahawa dia satu-satunya individu yang boleh menghadapi pemimpin dunia dan memperoleh kejayaan,” jelas Olmert lagi. - CNN
#Benjamin Netanyahu #kepentingan peribadi #Ehud Olmert #israel serang gaza
;