Netanyahu ikrar akan terus berperang hingga Hamas dihapus
Astro Awani
Julai 1, 2024 08:30 MYT
Julai 1, 2024 08:30 MYT
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan meneruskan perang ke atas Hamas, sehingga kumpulan itu dihapuskan sepenuhnya.
Beliau juga menuduh Hamas sebagai satu-satunya halangan kepada pembebasan tebusan yang masih ditahan di Gaza.
"Pasukan kami kini beroperasi di Rafah, di Shijaiyah, dan di seluruh Semenanjung Gaza.
"Setiap hari mereka menghapuskan berpuluh-puluh pengganas. Ia adalah perjuangan yang sukar di darat, kadang-kadang dalam pertempuran bersemuka, dan ia juga dijalankan di bawah tanah," katanya.
Pada Sabtu, pegawai kanan Amerika Syarikat memaklumkan sudah mengemukakan cadangan baharu kepada pengantara Mesir dan Qatar bertujuan untuk memulakan semula rundingan Israel-Hamas yang tertangguh.
Perkembangan dilaporkan berlaku di tengah-tengah pertempuran sengit di Bandar Gaza.
Sementara itu, beribu-ribu penduduk Palestin yang masih tinggal di bandar paling selatan Gaza, Rafah, melarikan diri pada hari Jumaat ke Muwasi, sebuah kem khemah pantai yang ditetapkan oleh tentera Israel sebagai zon selamat.
Lebih daripada 1.3 juta penduduk Palestin telah melarikan diri dari Rafah sejak serangan Israel ke atas bandar itu pada awal Mei, sementara kumpulan bantuan memberi amaran bahawa tiada tempat yang selamat untuk pergi.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih daripada 37,800 penduduk Palestin telah terbunuh dalam perang sejak ia bermula dengan serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober.