Netanyahu dituduh rasuah, menipu dan pecah amanah
Agensi
Februari 8, 2021 19:40 MYT
Februari 8, 2021 19:40 MYT
BAITUL MAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini membuat pengakuan tidak bersalah di mahkamah atas satu pertuduhan kes rasuah serta tiga lagi kes melibatkan penipuan dan pecah amanah.
Kehadiran Netanyahu di mahkamah pada Isnin merupakan kali kedua melibatkan perbicaraan kes rasuahnya yang bermula sejak Mei lalu sebelum ia ditangguhkan susulan situasi pandemik COVID-19.
Netanyahu didakwa menggunakan pengaruhnya untuk memperolehi faedah dari sebuah syarikat telekomunikasi milik rakannya berjumlah lebih AS$300 juta.
Sesi perbicaraan pada Isnin turut membincangkan penjadualan semula prosiding khususnya apabila kesemua bahan bukti telah dikumpulkan bagi sesi seterusnya.
Sementara itu, di luar perkarangan mahkamah menyaksikan beberapa kumpulan anti Netanyahu berkumpul bagi mengadakan tunjuk perasaan sambil mengecamnya sebagai penjenayah.
Bagaimanapun, Netanyahu mendakwa proses yang sedang berlangsung di mahkamah hanya dengan matlamat menyingkirkannya daripada pejabat Perdana Menteri.
Israel akan berdepan proses pilihan raya umum dalam tempoh enam minggu lagi dan difahamkan Netanyahu membuat permohonan untuk menangguhkan kesemua prosiding sehingga berlangsungnya hari mengundi pada 23 Mac.