“Netanyahu bukan lagi orang yang boleh kami berbincang” - Presiden Erdogan

Agensi
November 4, 2023 06:00 MYT
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) pada Sabtu mengesahkan hubungan beliau dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah putus berikutan perlakuan Israel di Gaza.
ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu mengesahkan hubungan beliau dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah putus berikutan perlakuan Israel di Gaza.
"Netanyahu bukan lagi orang yang boleh kami berbincang. Dia sudah tiada kena mengena," kata beliau memetik laporan media Turki.
Kenyataan terbaharu Erdogan itu dibuat susulan seminggu selepas Israel menegaskan 'menilai semula' hubungannya dengan Ankara disebabkan retorik Turki yang semakin hangat mengenai perang Israel-Palestin.
Israel sebelum ini dilaporkan memanggil balik semua diplomat dari Turki dan negara serantau lain sebagai langkah keselamatan.
Tentera zionis ketika ini mengepung bandar terbesar di Gaza, cuba untuk menghancurkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serbuan 7 Oktober ke Israel.
Kementerian kesihatan di Gaza, yang dikendalikan oleh Hamas, berkata lebih 9,400 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh sejak serangan Israel dan langkah ketenteraan darat yang semakin sengit.
Erdogan turut memberitahu, Turki bagaimanapun, tidak memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.
"Memutuskan hubungan sepenuhnya tidak mungkin, terutamanya dalam diplomasi antarabangsa," jelas Erdogan.
Beliau berkata, ketua agensi perisikan MIT, Ibrahim Kalin sedang menerajui usaha Turki untuk mencuba dan menjadi pengantara bagi menamatkan perang.
"Ibrahim Kalin bercakap dengan pihak Israel. Sudah tentu, dia juga sedang berunding dengan Palestin dan Hamas," kata Erdogan.
Namun, tegas Presiden Turki itu, Netanyahu memikul tanggungjawab utama untuk keganasan dan 'sudah kehilangan sokongan rakyatnya sendiri.'
"Apa yang dia perlu lakukan ialah berundur dan hentikan perkara ini," kata Erdogan. - AFP
#Perang Palestin-Israel #Benjamin Netanyahu #Presiden Turki #Recep Tayyip Erdogan
;