Netanyahu beri amaran operasi Israel lebih luas di Gaza

Astro Awani
Julai 18, 2014 07:11 MYT
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Jumaat berkata dia telah mengarahkan tentera untuk
"bersedia untuk kemungkinan meluas, dengan ketara," operasi darat di Semenanjung Gaza bermula malam Khamis, tetapi mengakui "tidak ada jaminan 100 peratus kejayaan."
Netanyahu turut merakamkan takziah kepada keluarga seorang askar Israel yang terbunuh dalam jam pertama serangan darat, yang dikenal pasti oleh tentera sebagai Staf Sarjan. Eitan Barak, 20, dari Herzliya.
Sebuah stesen radio yang dikendalikan Hamas dilaporkan pada hari Jumaat bahawa tiga adik-beradik Palestin telah terbunuh dalam serangan meriam di sebuah blok apartmen di utara Gaza sekitar tengah hari Jumaat. Jumlah angka kematian rakyat Palestin dijangka meningkat melebihi 300. Pegawai kesihatan Palestin berkata bahawa kira-kira 2,000 yang lain turut cedera.
Sarjan Barak merupakan kematian kedua di pihak Israel sejak konflik yang bermula 8 Julai. Sebelum ini seorang rakyat Israel berusia 37 tahun telah terbunuh akibat serangan mortar dari Gaza ketika dia sedang mengagihkan makanan kepada anggota tentera yang berkumpul berhampiran sempadan pada Selasa. Media Yahudi melaporkan bahawa anggota tentera itu ditembak berhampiran Beit Hanoun, di timur laut Gaza.
Sementara itu stesen radio Al Aqsa yang dikendalikan oleh Hamas melaporkan bahawa tiga anak Ismail Abu Musalam - Walaa,12; Muhammad13 dan Ahmed, 14 - telah dibunuh apabila peluru menembusi bilik tidur mereka di blok perumahan Al Nada berhampiran lintasan Erez. Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri di laman Facebooknya berkata Netanyahu "membunuh kanak-kanak Gaza dan dia akan membayar harganya"
Tentera Israel mendakwa mereka telah menjumpai lima terowong di Gaza pada waktu pertama operasi darat semalam dan membunuh tidak kurang dari 14 pejuang Palestin
"Petunjuk awal menunjukkan bahawa keputusan setakat ini sejajar dengan jangkaan," kata kenyataan itu sambil menambah bahawa tentera Israel "mencapai kemajuan dalam misi masing-masing, termasuk mengenal pasti dan memerangi ancaman keganasan dari terowong."
Bekalan elektrik juga terputus di kebanyakkan kawasan di Gaza ekoran kabel yang menyalurkan kuasa dari Israel telah diputuskan.
Di utara Gaza, berpuluh-puluh keluarga melarikan diri akibat pengeboman yang dilakukan Israel dengan berjalan kaki atau menggunakan kereta keldai yang dipenuhi sehingga 10 orang, termasuk kanak-kanak dan orang dewasa. Letupan dari serangan udara juga boleh dilihat. Sejumlah kecil berpindah di Gaza City, di mana jalan-jalan kebanyakannya sepi dan kedai-kedai ditutup. Di Hospital Shifa, mangsa terus tiba, termasuk satu badan yang meledak hingga berkecai dan seorang budak lelaki yang mukanya cedera terkena serpihan. Ramai di kalangan kakitangan di hospital juga telah bekerja hampir tanpa henti selama 11 hari.
Di bandar Khan Younis di selatan Gaza, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh semalam, termasuk empat ahli keluarga Radwan, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. Penduduk Al Qarara, sebuah kejiranan di timur Khan Younis, berkata jentolak telah meratakan tanah yang penuh dengan tanaman mereka berhampiran pagar sempadan di timur Gaza dalam apa yang dikenali sebagai "zon penampan" - satu jalur di mana Israel menghalang bercucuk tanam selama beberapa tahun tetapi ditarik balik sekatan itu di bawah perjanjian gencatan senjata yang menamatkan perang Gaza yang lepas pada 2012.
Serangan udara Israel juga berterusan, dengan pesawat F-16 menyerang sebuah kediaman milik keluarga Khoudary berdekatan sebuah bangunan yang menempatkan pejabat-pejabat agensi berita Al Jazeera dan The Associated Press. .
Di sepanjang jalan yang selari dengan sempadan timur Gaza dan kira-kira satu batu ke dalam wilayah Israel, berpuluh-puluh kereta kebal kelihatan bergerak perlahan, dengan tentera rejim bersiap sedia.
Sirens isyarat serangan roket kedengaran sepanjang malam dan hingga ke pagi di selatan Israel dengan lintasan Erez ke Gaza telah ditutup kepada semua lalu lintas, termasuk wartawan asing, seorang jurucakap berkata.
#Gaza #Hamas #Israel #Netanyahu
;