Nepal tidak akan benarkan golongan OKU mendaki Everest

AFP
September 29, 2015 07:57 MYT
'Mendaki Everest bukan satu perkara yang remeh ... ia bukan tentang isu mendiskriminasi, bagaimana hendak mendaki tanpa kaki? Seseorang perlu mendukung anda ke atas," kata ketua jabatan pelancongan Govinda Karki.-Gambar Fail
Nepal sedang membuat pertimbangan untuk tidak membenarkan pendaki dari golongan orang kelainan upaya(OKU) dan yang terlalu tua daripada mendaki gunung Everest dan gunung-gunung lain dalam usaha meningkatkan keselamatan, menurut Ketua Jabatan Pelancongan Nepal.
Cadangan itu, yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan selepas lima bulan tragedi gempa bumi yang meragut nyawa 18 orang di pangkalan kem Everest, dikhuatiri mendiskriminasi.
"Kami tidak perlu mengeluarkan permit kepada mereka yang tidak dapat melihat atau berjalan atau yang tidak mempunyai tangan," kata Ketua Jabatan Pelancongan Govinda Karki kepada AFP.
"Mendaki Everest bukan satu perkara yang remeh ... ia bukan tentang isu diskriminasi, bagaimana hendak mendaki tanpa kaki? Seseorang perlu mendukung anda ke atas," tambah Karki.
"Kami mahu menjadikan gunung-gunung lebih selamat untuk semua orang, jadi kita perlu laksanakan beberapa peraturan."
Karki berkata kerajaan juga sedang mengkaji mengeluarkan permit hanya untuk pendaki Everest yang dulunya pernah mendaki 6,500 meter ke atas untuk membuktikan mereka tidak akan mempunyai masalah dengan gunung tertinggi di dunia itu.
Runtuhan salji tahun sebelumnya telah membunuh 16 malim gunung dan mencetuskan debat global tentang risiko besar yang ditanggung Nepal dalam membuat kerja penyelenggaraan tali dan tangga dalam membantu pendaki yang berbeza peringkat pengalaman.
Namun, Everest telah menarik ramai pendaki yang ingin mengatasi ketidakupayaan mereka dan ingin membuktikan sesuatu.
Mark Inglis dari New Zealand yang kehilangan kedua-dua kakinya akibat 'frostbite' (radang dingin), menjadi orang pertama yang menjalani amputasi dua belah kaki untuk mencapai puncak Everest pada tahun 2006.
Manakala, Erik Weihenmayer yang cacat penglihatan dari Amerika telah mencapai puncak Everest pada Mei 2001 dan tujuh tahun kemudian, masih merupakan satu-satunya orang tidak berpenglihatan yang sampai ke puncak gunung tertinggi itu.
Pakar mendaki gunung yang berpangkalan di Kathmandu Elizabeth Hawley menolak cadangan kerajaan, memanggilnya tidak wajar.
Pegawai Nepal juga sedang melihat untuk menghadkan usia pendaki ke semua puncak Himalaya antara 18 dan 75, kata Karki.
Nepal tidak memberikan lesen untuk mendaki Everest kepada sesiapa bawah umur 16 tetapi tidak pernah kenakan had umur maksima.
Pengembara Jepun Yuichiro Miura, 82, kini memegang rekod pendaki tertua ke puncak Everest, pada usia 80 tahun.
Aktiviti mendaki gunung adalah sumber pendapatan utama bagi Nepal dan gempa bumi pada 25 April yang mengorbankan hampir 8,900 orang menimbulkan kebimbangan untuk industri pelancongan negara ini.
FOTO: Malapetaka gempa bumi Nepal
#diskriminasi #Everest #Govinda Karki #Kathmandu #Nepal
;