Nepal keluarkan larangan pendakian solo ke Everest
Agensi
Disember 31, 2017 11:45 MYT
Disember 31, 2017 11:45 MYT
Nepal mengharamkan pendaki solo daripada menjalankan ekspedisi di gunung-gunungnya, termasuk Gunung Everest, dalam usaha mengurangkan insiden kemalangan, ujar sumber rasmi kepada AFP.
Kabinet Nepal pada Khamis mengeluarkan laporan penilaian semula ke atas peraturan aktiviti pergunungan Himalaya yang antara lain menetapkan keputusan tersebut.
Ia adalah antara langkah tegas yang diambil sebelum bermulanya musim pendakian musim bunga bagi tahun 2018.
"Perubahan itu melarang ekspedisi solo, yang sebelum ini dibenarkan,” ujar Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Penerbangan Awam, Maheshwor Neupane.
Neupane berkata undang-undang itu dinilai semula untuk menjadikan aktiviti mendaki gunung lebih selamat sekali gus menghindarkan kes kematian.
Pendaki berpengalaman Switzerland, Ueli Steck, telah terkorban pada April lalu apabila tergelincir dari rabung curam ketika melakukan pendakian solo ke Nuptse, iaitu puncak yang berdekatan dengan Everest.
Larangan itu dilihat bakal mencetuskan kemarahan komuniti pendaki gunung solo elit, yang gemar mendaki sendirian, dan sering menyalahkan ekspedisi komersial kerana dianggap membawa masuk ramai pendaki ke Everest hingga menyebabkan kesesakan di laluan tertentu.
Kabinet Nepal juga mengeluarkan larangan pendakian untuk pendaki buta dan yang kehilangan kedua-dua anggota kaki, meskipun lokasi gunung itu sering menjadi mercutanda bagi ramai golongan kurang upaya membuktikan kemampuan azam serta fizikal mereka.
Sebelum ini, pendaki New Zealand Mark Inglis yang kehilangan kedua-dua belah kakinya akibat gigitan fros, menjadi OKU tanpa kedua-dua kaki pertama yang berjaya sampai ke puncak setinggi 8,848 meter itu pada 2006.
Pendaki buta dari Amerika Syarikat Erik Weihenmayer pula telah mendaki Everest pada Mei 2001 dan kemudian menjadi satu-satunya OKU penglihatan yang selamat sampai ke semua puncak tertinggi di tujuh benua.
Pendaki berpengalaman Hari Budha Magar, yang juga seorang askar Gurkha, berkata larangan itu satu diskriminasi.
"Jika Kabinet meluluskannya, ini satu diskriminasi kepada golongan kurang upaya, dan melanggar hak asasi manusia," ujar Magar dalam media sosial.
Ribuan pendaki gunung terbang ke Nepal setiap tahun pada musim bunga dan musim luruh, kerena ketika itu cuaca lebih berpihak kepada mereka.
Hampir 450 pendaki - 190 warga asing dan 259 warga Nepal - telah selamat sampai di puncak Everest dari laluan selatan Nepal tahun lalu.
#ekspedisi pendakian
#Gunung Everest
#Kathmandu
#kemalangan
#keselamatan
#larangan
#Nepal
#pendaki
#pendaki buta
#pendaki solo
#pendakian