Nepal digesa perketat peraturan mendaki untuk kurangkan kes kematian di Everest

Agensi
Jun 5, 2023 17:47 MYT
Terdapat banyak pengendali membawa pelanggan mereka ke Everest namun tidak memahami cara untuk menghindari atau bertindak apabila terjadi kemalangan. - Reuters
KATHMANDU: Pendaki kurang berpengalaman yang dibawa mendaki Gunung Everest oleh pengendali ekspedisi didapati banyak menimbulkan masalah, menurut seorang pemandu pendakian veteran pada Ahad.
Ulasan Guy Cotter itu bagi merujuk pada musim paling buruk dalam rekod di gunung berkenaan setelah menyaksikan beberapa kes kematian.
Reuters melaporkan, sekurang-kurangnya 12 pendaki maut manakala lima lagi hilang dan dikhuatiri mati di gunung setinggi 8,849 meter itu pada musim pendakian tahun ini.
Angka kematian itu adalah yang terburuk sejak kejadian gempa bumi yang mencetus runtuhan salji pada 2015, hingga mengorbankan 18 orang.
"Pendaki paling lemah dengan pengendali yang kurang berpengalaman adalah sebahagian daripada masalahnya,” ujar Cotter, 69, seorang pemandu pendakian dari New Zealand yang pernah menawan puncak gunung itu sebanyak lima kali.
Tambahnya, pendaki perlu memiliki standard minimum pendakian dengan bukti rekod mendaki sebelum datang ke Everest.
Tiga pendaki Sherpa telah terkorban apabila ais menimpa mereka di lereng rendah gunung itu pada April lalu, sementara beberapa yang lain kehilangan nyawa akibat penyakit atau keletihan melampau.
Nepal sebenarnya mengawal aktiviti mendaki Everest dan beberapa puncak Himalaya yang lain, dengan memastikan setiap kedatangan adalah berserta permit. Namun, Cotter berkata, operator yang memandu pendakian pelanggan mereka perlu menepati standard minimum bagi kelengkapan dan petugas.
"Terdapat banyak pengendali yang membawa pelanggan mereka ke Everest namun tidak memahami cara untuk menghindari atau bertindak apabila terjadi kemalangan. Apabila sesuatu perkara buruk terjadi, mereka tidak mengetahui proses untuk mengendalikan masalah itu,” ujar Cotter.
Bigyan Koirala, pegawai dari Jabatan Pelancongan yang memantau aktiviti pendakian, berkata kerajaan sedang mempertimbang lebih banyak peraturan, namun tidak memberikan perinciannya.
Nepal mengeluarkan sejumlah 478 permit pendakian ke Everest tahun ini, dan ratusan pendaki sudah berjaya sampai ke puncaknya.
#Gunung Everest #Nepal #pendakian #Peraturan #kematian
;