Nenek tahyul baling syiling dalam enjin pesawat, kononnya elak nasib buruk
Madiha Abdullah
Jun 29, 2017 09:30 MYT
Jun 29, 2017 09:30 MYT
SESETENGAH orang mempunyai amalan pelik yang akan dilakukan sebelum menaiki pesawat.
Paling biasa didengar adalah amalan melangkah menaiki pesawat dengan kaki kanan, dipercayai ia boleh mengelakkan kejadian tidak diingini.
Bagi seorang wanita di China pula, dia menimbulkan kekecohan apabila membaling beberapa keping syiling ke dalam enjin pesawat yang hendak dinaikinya, dan percaya amalan itu untuk 'memastikan penerbangan yang lancar'.
Namun, tindakan wanita yang dikenali dengan nama Qiu itu membuatkan penerbangan tersebut tertangguh beberapa jam.
Huffington Post melaporkan, beberapa penumpang ternampak Qiu membaling syiling-syiling berkenaan ketika menaiki tangga untuk memasuki pesawat.
Hal itu kemudiannya dimaklumkan kepada petugas lapangan terbang yang seterusnya mengarahkan semua penumpang turun untuk membolehkan mereka mencari syiling-syiling yang dibaling Qiu.
Para petugas telah menemui sekeping syiling di dalam enjin pesawat Airbus 320 China Southern Airlines itu, manakala lapan keping lagi di atas lantai.
Akibatnya, penerbangan dari Pudong ke Guangzhou pada Selasa itu tertangguh hampir lima jam.
Qiu, 80 tahun, disahkan tidak mengalami apa-apa masalah mental dan dilaporkan telah ditahan polis.