'Nenek perkasa' ini jadi trend baharu, orang muda bertubuh lemah sangat tercabar!
AFP
September 26, 2020 14:25 MYT
September 26, 2020 14:25 MYT
Usia bukan penghalang untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik dan menawan. Terbaharu seorang nenek berusia 68 tahun berjaya mencuri tumpuan dengan kondisi tubuh yang 'padu' walaupun usianya sudah lanjut.
Kisah tentang kesihatan dan kecergasan nenek 'perkasa' dari kota Shanghai itu kini menjadi subjek trending terbaharu China apabila popularitinya melonjak dalam tempoh beberapa bulan, sekali gus menjadi tajuk utama kebanyakan media utama di negara itu.
Pada usia itu, Chen Jifang memilih untuk menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam setiap hari di gimnasium dengan melakukan senaman angkat berat, yang jarang-jarang digemari golongan warga emas.
Agensi berita AFP melaporkan, selepas berdaftar di sebuah gim pada Disember 2018, Chen berjaya menghilangkan 14 kilogram dalam tempoh tiga bulan sahaja dengan perut yang cukup rata, persis model serta badan berotot.
Kejayaannya yang mengagumkan dan disifatkan sebagai luar biasa itu menyebabkan akaun TikToknya itu mendapat lebih 410,000 pengikut.
"Saya akan bersenam selagi masih bernyawa," kata Chen yang mahu menjadi inspirasi kepada semua lapisan golongan untuk mengikuti jejak langkahnya bagi membentuk masyarakat yang cergas.
Sebuah video yang memaparkan Chen melakukan pergerakan lung-busting squats dan lunges menjadi tular dengan tontotan lebih satu juta kali.
Rata-rata media tempatan melaporkan kisah Chen selaras dengan hasrat kerajaan untuk mendorong lebih banyak penglibatan orang ramai dalam aktiviti senaman.
Ia adalah bersesuaian dengan mesej langsung untuk melawan virus COVID-19 yang mula tersebar sejak akhir tahun lalu.
Menceritakan mengenai penglibatannya dalam senaman itu, bekas pekerja sebuah syarikat makanan itu berkata, dia mula berjinak-jinak dalam aktiviti itu kerana khuatir akan kesihatannya selepas bersara.
Ketika pertama kali menampilkan diri di pintu masuk gim, orang ramai memerhatinya dengan reaksi terkejut dan dicampuri perasaan pelik.
"Mereka jarang melihat orang berusia seperti saya menyertai gim," katanya yang mempunyai cucu berusia 14 tahun.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !