Nenek lapan cucu bakal lahir anak kembar empat

Sinar Harian
Oktober 21, 2018 06:22 MYT
Tracey sudah mempunyai tiga orang anak, masing-masing berusia 22, 31 dan 32 tahun, hasil hubungan dengan suami pertamanya sebelum mereka bercerai pada 2003. Foto Paul Davey / SWNS
NENEK lapan cucu bakal menjadi ibu tertua kepada anak kembar empat di United Kingdom (UK).
Menerusi laporan Metro United Kingdom, Tracey Britten, 50 tahun, dijangka melahirkan tiga bayi perempuan dan seorang lelaki selepas membelanjakan kira-kira 7,000 pound sterling untuk rawatan IVF di Cyprus.
Bekas kaunselor dadah itu kini sedang hamil 30 minggu.
Tracey bertemu dengan suaminya Stephen pada 2005 dan mereka berkahwin pada 2012.
Wanita tersebut sudah mempunyai tiga orang anak, masing-masing berusia 22, 31 dan 32 tahun, hasil hubungan dengan suami pertamanya sebelum mereka bercerai pada 2003.
Doktor berkata, bayi kembar Tracey akan dilahirkan pada bila-bila masa sahaja tetapi dia disarankan untuk bersalin menerusi kaedah pembedahan pada awal bulan depan.
Sejurus sahaja bayi itu dilahirkan nanti, doktor berkata mereka perlu dipisahkan dan dihantar ke hospital berbeza kerana hospital yang dekat dengan rumah Tracey hanya mempunyai dua inkubator.
Tracey turut mengambil steroid untuk menguatkan paru-paru empat bayinya yang akan dilahirkan lebih awal.
"Ia suatu keajaiban. Setakat ini saya masih ok. Saya cuba mengharungi setiap hari dengan baik sehingga hari saya bersalin," katanya.
Tracey berkata dia membayar kos rawatan tersebut menggunakan wang yang ditinggalkan mendiang ibunya Pauline Smith yang meninggal dunia pada 2007.
"Ibu mengidam anak kembar dalam keluarga. Jadi bayi kembar yang bakal lahir nanti adalah hadiah untuknya," kata Tracey.
Katanya, doktor juga pernah mencadangkan agar dia mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan itu melalui pengguguran terpilih, tetapi selepas berunding, berbincang dengan keluarga, dan juga pakar, dia memutuskan untuk mengekalkan keempat-empat bayinya itu.
#anak kembar #cucu #Doktor #hamil #ibu tertua #kaunselor dadah #kempat empat #nenek #rawatan IVF #steroid #Tracey Britten #United Kingdom
;