Nenek dihanyut ombak ketika posing ala permaisuri di atas bongkah ais
Agensi
Mac 2, 2019 13:11 MYT
Mac 2, 2019 13:11 MYT
Seorang nenek berusia 77 tahun nyaris dihanyutkan ombak ketika bergambar di atas ketulan ais berbentuk kerusi singgahsana semasa bercuti di Diamond Beach, Iceland baru-baru ini.
Judith Streng dari Texas, Amerika Syarikat mengaku bergambar persis seorang permaisuri di atas ketulan ais itu sebelum ombak besar menghanyutkannya ke tengah laut.
“Semasa saya berjaya duduk di atas ais itu, ombak datang ke arah saya. Ombak yang sangat besar dan membuatkan ‘singgahsana’ saya bergoyang. Saya hampir tergelincir,” katanya kepada ABC News.
Judith berjaya diselamatkan seorang kapten kapal dari Florida yang kebetulan menyaksikan insiden itu.
“Saya ingat ia (duduk di atas ais) selamat. Ada beberapa wanita pernah duduk di atas ketulan ais itu, namun mereka selamat. Mungkin kerana faktor berat badan saya.
“Saya selalu berfantasi untuk menjadi seorang permaisuri. Inilah masa saya,” katanya.
Gambar kejadian itu tular di Twitter dengan lebih 66,000 retweet.
Sekembalinya ke Texas, Judith menerima banyak panggilan telefon daripada pihak media untuk sesi temu ramah, namun dia menolaknya.
“Menjadi popular itu sangat hebat,” katanya.