Nenek 99 tahun terkejut diberitahu hamil
Astro Awani
Julai 26, 2015 20:20 MYT
Julai 26, 2015 20:20 MYT
Seorang nenek dari Bognor Regis, England menerima surat dari sebuah hospital, memaklumkan dia sedang hamil.
Bagaimanapun, Doris Ayling yakin hospital berkenaan telah melakukan kesilapan memandangkan dia sudah berusia 99 tahun.
Doris berkata, dia terkejut membaca surat berkenaan yang isi kandungannya antara lain meminta dia membawa sampel air kencing untuk menjalani pemeriksaan lanjut mengenai kehamilannya.
Lebih mengejutkan, tarikh lahir yang tercatat dalam surat berkenaan tepat dengan tarikh lahirnya.
Tiga anaknya, yang semuanya sudah bersara juga terperanjat apabila ditunjukkan surat berkenaan.
Seperti Doris, mereka juga tidak yakin akan memperoleh adik baru dan merasakan ia amat melucukan.
Apabila dimaklumkan mengenai surat berkenaan, pihak pengurusan Hospital Portsmouth memohon maaf kepada Doris dan keluarganya dan berkata, ia berpunca daripada 'kesilapan pengurusan'.