Nenek 76 tahun sanggup berjalan 24 km sehari hantar cucu lumpuh ke sekolah
Agensi
Januari 23, 2018 18:15 MYT
Januari 23, 2018 18:15 MYT
SEORANG wanita warga emas di China berjalan sejauh 24 kilometer dengan menolak kerusi roda demi menghantar cucunya yang lumpuh ke sekolah.
Memetik laporan Daily Mail, Shi Yuying, 76 tahun, berulang-alik dari kediamannya sambil menolak kerusi roda Jiang Haowen yang berusia sembilan tahun di sebuah wilayah terpencil dekat selatan China.
“Saya akan tetap menolak kerusi rodanya selagi saya masih terdaya,” ujar wanita berkenaan ketika ditemubual oleh wartawan tempatan.
Haowen yang mengidap Cerebral Palsy sejak berumur dua tahun membuatkan dia tidak boleh berjalan serta memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Penyakitnya itu menyerang bahagian otak hingga memberi kesan kepada pergerakan dan koordinasi badannya.
Haowen sebelum ini pernah dibawa untuk mendapatkan rawatan di bandar berdekatan namun keluarganya tidak mampu menanggung kos perubatan berkenaan.
Ibu bapa Haowen telah bercerai ketika dia berusia empat tahun. Bapanya sekarang berkerja di sebuah bandar untuk membolehkan dia menyara keluarga manakala ibunya telah berkahwin lain.
Shi dan Haowen kini tinggal di sebuah perkampungan di Daizhuyuan dekat bandar Huangguan di wilayah Guangxi.
Sebelum ini, dia pernah menggunakan basikal untuk menghantar Haowen.
Pada Julai tahun lalu, pihak berkuasa tempatan telah menghulurkan bantuan dengan memberikan kerusi roda kepada Haowen.
Sejak itu dia telah menggunakan kerusi roda tersebut untuk menghantar cucunya setiap kali sesi persekolahan bermula, selama empat tahun berturut-turut tanpa menghiraukan panas dan hujan.
Dalam satu temubual bersama Pear Video, Shi memberitahu bahawa dia membawa cucunya ke sekolah empat kali sehari - waktu pagi dan tengahari sebelum kembali menjemputnya pada tengahari dan petang.
Jarak antara sekolah dan kediamannya kira-kira tiga kilometer. Ini bermakna dia telah berjalan kira-kira 24 kilometer sehari.
Dia tidak pernah merasa terbeban malah gembira menggalas tanggung jawab menjaga cucunya itu.
Bagaimanapun, dia sedang mencari sebuah sekolah yang lebih bagus untuk kanak-kanak kelainan upaya seperti Haowen dan berhajat untuk menghantarnya ke sana.