Nenek 70 tahun lahir anak kembar guna kaedah IVF
Sinar Harian
Disember 3, 2023 07:50 MYT
Disember 3, 2023 07:50 MYT
KAMPALA: Seorang wanita Uganda berusia 70 tahun menjadi ibu tertua di Afrika yang berjaya melahirkan anak kembar melalui rawatan pensenyawaan in-vitro (IVF).
Safina Namukwaya melahirkan sepasang anak kembar lelaki dan perempuan dengan kaedah pembedahan caesarean pada Rabu lalu di sebuah hospital di Kampala, tempat dia mendapatkan rawatan IVF sebelum ini.
Menurut BBC, hospital itu mengucapkan tahniah kepadanya dan menyatakan bahawa kelahiran itu sebagai 'kejayaan perubatan' di hospital tersebut.
Pakar kesuburan di Pusat Kesuburan dan Hospital Wanita Antarabangdsa (WHI&FC), Dr Edward Tamali Sali memberitahu BBC bahawa wanita itu menggunakan telur penderma dan sperma pasangannya untuk melakukan IVF.
"Bayi itu dilahirkan secara pramatang yang memasuki 31 minggu dan diletakkan dalam inkubator. Mereka kini stabil.
"Kami berjaya membantu Safina melahirkan anak kembar luar biasa pada umur 70 tahun dan merupakan ibu tertua di Afrika," menurut kenyataan WHI&FC dalam akaun Facebook.
Menurut BBC, ia merupakan kelahiran kedua bagi wanita itu dalam tempoh tiga tahun.
Kelahiran pertama adalah seorang bayi perempuan pada tahun 2020.
"Saya pernah menjaga anak orang dan melihat mereka membesar dan meninggalkan saya sendirian.
"Saya tertanya-tanya siapa akan menjaga saya nanti apabila sudah tua," katanya. - Agensi/Sinar Harian