Nenek 65 tahun janji beri bangunan pada pemuda 20-an jika bercinta
Gempak
Januari 13, 2024 09:00 MYT
Januari 13, 2024 09:00 MYT
KISAH seorang lelaki yang berkongsi cerita mengenai dirinya di forum komuniti atas talian Naver Knowledge iN mencuri perhatian netizen.
Lelaki berusia 20-an dengan identiti tidak didedahkan itu memberitahu telah melalui sebuah perhubungan cinta yang terjalin atas dasar sikap tamak dirinya sendiri kini memakan diri.
Menurut lelaki tersebut dia telah menjalin cinta dengan warga emas yang tua lebih 40 tahun daripadanya.
Wanita yang layak dipanggil nenek itu kini berusia 65 tahun.
Dia bersetuju untuk bercinta dengan warga emas itu selepas tergoda ditawarkan bangunan sebagai balasan kepada hubungan yang mempunyai ‘hitam putih’ kontrak.
“Saya menyewa di sebuah kediaman dan satu hari seorang wanita berusia 65 tahun yang memiliki rumah di situ mengajak saya minum.
“Kami keluar minum sebelum dia menawarkan saya menjadi kekasihnya selama lima tahun. Selepas lima tahun bercinta, dia akan memberi bangunan kepada saya.
“Saya menerima tawaran tersebut kerana tamak dan kini usia hubungan asmara kami sudah melewati lima tahun,” tulis lelaki tersebut seperti dilaporkan AllKPop.
Dia turut menyertakan kontrak percintaan yang ditandatangani sebagai bukti.
Malangnya lelaki tersebut mendakwa kini seperti ditipu oleh kekasih tuanya itu.
Warga emas tersebut telah meminta lelaki itu menandatangi kontrak percintaan baharu selama lima tahun lagi.
Bukan hanya itu, warga emas tersebut juga tidak mahu memberi bangunan selepas lima tahun bercinta seperti yang dijanjikan.
Oleh yang demikian, dia bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kekasihnya kerana gagal memenuhi perjanjian seperti tertera dalam kontrak sah mereka.
“Lima tahun telah berlalu, patutkah saya mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan hak saya?”soalnya.
Pertanyaan itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan antaranya mengatakan sejak awal dia perlu meminta wang bukan menagih janji selain meminta agar dia tidak bersetuju meneruskan hubungan lima tahun lagi kerana bimbang akan terus menjadi mangsa penipuan. - Gempak