Nelson Mandela tinggalkan harta bernilai lebih RM13.7juta
Astro Awani
Februari 4, 2014 12:16 MYT
Februari 4, 2014 12:16 MYT
Mendiang Nelson Mandela meninggalkan harta kekayaan bernilai lebih 46juta rand atau RM13.7juta.
Pendedahan harta kekayaan yang antaranya merangkumi tanah dan rumah serta royalti pejuang anti-apartheid itu terkandung dalam wasiat mendiang.
Wasiat setebal 40 halaman terbabit turut memperincikan siapa penerimanya.
Petugas peribadi mendiang semasa hayatnya masing-masing akan mendapat 50,000 rand atau RM14,880 manakala 100,000 rand atau RM29,761 akan diberikan kepada sekolah di mana mendiang pernah belajar.
Mandela meninggal dunia 5 Disember tahun lalu pada usia 95 tahun.
Antara harta peninggalannya termasuk beberapa kediaman mewah dan sederhana selain royalti hasil jualan buku seperti autobiografi ‘Long Walk to Freedom’.
Mandela juga meninggalkan masing-masing 100,000 rand kepada empat institusi pendidikan dalam bentuk saham dan biasiswa.
Keluarga mendiang Mandela dilaporkan akan menerima 1.5juta rand atau RM446,424 beserta royalti dan mereka menerima baik wasiat mendiang.
ANC juga turut menerima royalty bagi digunakan untuk sebaran maklumat dan dasar parti khususnya mengenai penyatuan.
Mana-mana pihak atau individu diberikan tempoh masa 90 hari untuk mencabar wasiat berkenaan.