Nelayan Sumatera temui harta karun, artifak dipercayai dari empayar Srivijaya
Astro Awani
Oktober 25, 2021 10:00 MYT
Oktober 25, 2021 10:00 MYT
SEJAK lima tahun lalu, nelayan yang menerokai Sungai Musi berhampiran Palembang, telah menemui sejumlah harta karun dan artifak menakjubkan, antaranya termasuk batu permata, cincin emas, syiling dan loceng gangsa sami.
Salah satu penemuan paling luar biasa setakat ini ialah patung Buddha bersaiz besar bertatahkan permata dari abad ke-8, yang dianggarkan bernilai jutaan pound.
Kesemua artifak ini dipercayai wujud sejak peradaban Srivijaya, sebuah kerajaan antara abad ke-7 dan ke-13 yang tiba-tiba lenyap satu abad kemudian.
"Ramai ahli sejarah yang cuba 'memburu' khazanah Srivijaya sehingga ke Thailand dan India, namun tidak banyak yang ditemui," kata Dr Sean Kingsley, seorang ahli arkeologi maritim Britain kepada portal Mail Online.
''Bahkan di Palembang, lokasi kerajaan itu lenyap, para ahli arkeologi gagal mencari bahan bukti yang cukup walaupun untuk sebuah perkampungan kecil.
"Srivijaya benar-benar cermat menjaga rahsianya.
"Sejak lima tahun kebelakangan ini, barulah kita menemui barangan luar biasa.
"Duit syiling, patung emas Buddha, permata dan semua jenis barangan yang mungkin anda baca dalam kisah Sinbad, tetapi ia sebenarnya wujud di alam nyata," tambahnya.
Ia berasal dari Palembang di pulau Sumatera tetapi memperluaskan pengaruhnya dan menguasai Selat Melaka.
Tidak jelas mengapa kerajaan itu runtuh.
Kingsley mengakui sering terfikir jika ia mengalami nasib yang sama seperti Pompeii yang 'hilang' akibat bencana gunung berapi atau mungkin dilanda badai, ditelan arus sungai yang deras.
Selain aktiviti pencarian oleh nelayan tempatan, belum ada operasi pencarian atau penggalian rasmi, yang sekali gus menjadi punca mengapa banyak persoalan tidak terjawab, lapor Guardian.