Nelayan, penduduk Jepun fail saman hentikan pelepasan air Fukushima

Bernama
September 8, 2023 19:17 MYT
Plaintif mendakwa pelepasan ke laut melanggar hak mereka menangkap ikan dan mengancam hak pengguna untuk hidup dengan aman. - Gambar/ Reuters
TOKYO: Sekumpulan 150 orang di Jepun, termasuk pekerja perikanan di wilayah Fukushima, memfailkan saman pada Jumaat untuk menghentikan pelepasan air sisa nuklear dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi yang musnah ke laut, lapor Xinhua.
Dalam saman yang difailkan terhadap kerajaan Jepun dan pengendali loji Tokyo Electric Power Company Holdings, plaintif mendakwa pelepasan ke laut melanggar hak mereka menangkap ikan dan mengancam hak pengguna untuk hidup dengan aman.
Selain itu, mereka memohon pembatalan kelulusan pengawal selia nuklear terhadap kemudahan yang dipasang untuk pelepasan air dan larangan untuk dikenakan terhadap pelepasan itu.
Plaintif tersebut juga termasuk individu yang terkesan akibat bencana nuklear 2011 di loji kuasa timur laut Jepun itu memfailkan saman dengan Mahkamah Daerah Fukushima, menjadikannya tuntutan undang-undang pertama seumpamanya.
Walaupun mendapat tentangan dari dalam dan luar negara, Jepun mula melepaskan air sisa nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik pada 24 Ogos, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan nelayan tentang mata pencarian mereka.
-- BERNAMA
#Jepun #nelayan tempatan #rakyat fail saman #Fukushima
;