Nelayan Britain berdepan risiko hilang pendapatan susulan larangan eksport EU
Astro Awani
Februari 21, 2021 07:53 MYT
Februari 21, 2021 07:53 MYT
FALMOUTH: Nelayan di Britain yang menjual hasil tangkapan berkerang menggesa kerajaan mengadakan rundingan dengan Kesatuan Eropah (EU) bagi menarik balik larangan eksport hasil laut itu.
Larangan itu dibuat selepas Britain meninggalkan EU pada 1 Januari lalu, yang mana hasil laut yang berkenaan perlu dibersihkan sebelum digunakan dan tidak boleh dijual kepada 27 ahli blok berkenaan.
Menurut EU, larangan itu dikuatkuasakan atas dasar kesihatan.
Bagaimanapun nelayan menegaskan proses pembersihan itu tidak dapat dilaksanakan.
Hasil laut itu termasuk tiram, kekapis, kerang dan kupang yang ditangkap di perairan 'Kelas B'.
Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Luar Bandar UK bagaimanapun menjelaskan tidak ada alasan saintifik di sebalik larangan itu, namun memberi jaminan sedang mencari penyelesaian segera.