Nelayan Bengkulu sokong tenggelamkan kapal nelayan penceroboh

Astro Awani
November 25, 2014 22:12 MYT
Kehadiran kapal pukat harimau di perairan Indonesia menimbulkan kemarahan nelayan kecil tempatan. - Gambar fail
Para nelayan Bengkulu menzahirkan sokongan penuh sekiranya pemerintah Republik Indonesia mahu menenggelamkan kapal asing yang mencuri hasil laut di perairan republik itu.
Dalam laporan yang disiarkan portal berita Kompas.com, sokongan terhadap tindakan tersebut merujuk kepada kenyataan Menteri Kelautan dan Perikanan, Susi Pudjiastuti sebelum ini.
"Kami menyokong penuh langkah Ibu Susi untuk tenggelamkan kapal pencuri ikan di laut Indonesia.
“Kami juga pernah membakar kapal yang mengambil ikan menggunakan pukat harimau hingga memusnahkan karang dan anak-anak ikan," kata Rustam, seorang nelayan di Pasar Malabero, Kota Bengkulu hari ini.
Tambahnya, para nelayan tempatan bukan sahaja menyokong langkah menenggelamkan kapa asing yang mencuri ikan, malah mereka sedia membantu.
“Lebih baik pemerintah yang lakukan daripada kami yang bakar," tegasnya.
Kenaikan bahan api, menurut Rustam, masih boleh diterima komuniti nelayan. Namun, penggunaan pukat harimau yang merosakkan karang dan membunuh anak-anak ikan diibaratkan musuh yang lebih besar.
Pada tahun 1986, kapal pukat harimau muncul buat kali pertama di perairan Bengkulu. Ketika itu, terdapat 52 buah kapal asing yang datang menangkap ikan di situ dan akhirnya mereka ditangkap oleh nelayan tempatan lalu diserahkan kepada pihak berkuasa.
Kemarahan terhadap nelayan penceroboh pernah memuncak di Bengkulu pada tahun 2000. Berpuluh-puluh kapal pukat harimau asing telah dibakar.
Kegawatan itu berjaya diredakan selepas pembahagian zon tangkapan antara nelayan kecil dan kapal pukat harimau namun peraturan itu tetap dilanggar pemilik kapal pukat harimau baharu yang sering saja melepasri sempadan tangkapan mereka.
Pada 20 November lalu, pihak berkuasa Indonesia dilaporkan telah menahan 200 nelayan Malaysia ekoran tindakan penangkapan ikan secara haram di perairan negara tersebut. Laporan yang disiarkan Jakarta Post itu turut memetik kenyataan tegas daripada Presiden Joko Widodo.
Walau bagaimanapun, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi Astro AWANI minggu lalu menyatakan, maklumat rasmi tentang identiti, warganegara dan jumlah sebenar nelayan yang dilaporkan ditangkap kerana menceroboh perairan Indonesia itu belum diterima atau disahkan sepenuhnya.
#ceroboh #hasil laut #Indonesia #Malaysia #nelayan #perairan #Susi Pudjiastuti
;