Nekad batal kahwin kerana bakal suami tidak bijak matematik

Sinar Harian
Januari 28, 2023 09:00 MYT
Keluarga pengantin perempuan itu berang kerana tidak dimaklumkan tentang keadaan 'mental rapuh' lelaki tersebut. - Gambar hiasan
NEW DELHI: Seorang pengantin perempuan di India nekad membatalkan perkahwinannya gara-gara bakal suaminya gagal mengira beberapa keping wang kertas 10 rupee.
Kejadian tersebut berlaku di Uttar Pradesh, utara India, setelah wanita dikenali sebagai Rita Singh, 21, tidak dapat menerima kekurangan pengantin lelaki itu kerana penguasaan matematik yang lemah.
"Kelemahan lelaki tersebut yang tidak boleh menyelesaikan matematik asas telah dibongkar oleh sami yang terlibat majlis berkenaan setelah melihat tingkah lakunya yang agak pelik.
"Keluarga pengantin perempuan itu kemudiannya memutuskan untuk menguji bakal menantu mereka.
"Lelaki itu dikatakan tidak memahami tugasan yang diberikan setelah hanya diminta mengira 30 keping wang kertas 10 rupee," lapor media tempatan.
Keluarga pengantin perempuan itu berang kerana tidak dimaklumkan tentang keadaan 'mental rapuh' lelaki tersebut.
Keputusan pembatalan majlis itu bagaimanapun mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua keluarga hingga memaksa campur tangan pihak berkuasa.
Polis cuba mendamaikan mereka dan memujuk Rita untuk meneruskan majlis itu, namun dia tetap berkeras dengan keputusannya. - Agensi/Artikel diterbitkan di portal Sinar Harian
#India #Rita Singh #Uttar Pradesh #Pengantin lelaki tidak pandai matematik
;