Negeri Maharashtra larang murid bawa beg sekolah berat

AFP
Julai 27, 2015 19:37 MYT
Murid sekolah di India sering membawa beg yang berat kerana diisi dengan pelbagai buku dan alat tulis yang berlebihan. - Gambar fail
Sebuah negeri di bahagian barat India menetapkan peraturan supaya murid-murid sekolah tidak boleh membawa beg yang beratnya lebih daripada 10 peratus berat badan mereka.
Peraturan itu dibuat dengan alasan untuk mencegah kanak-kanak sekolah tersebut mengalami kecederaan.
Menurut mereka yang membentang dan menguatkuasakan peraturan itu di negeri Maharashtra, beg sekolah yang terlalu berat dikhuatiri membuatkan kanak-kanak mudah terasa penat selain boleh menjejaskan pertumbuhan tulang mereka.
Sementara itu, para guru diminta untuk menimbang beg sekolah yang dibawa anak murid mereka.
Bagi murid darjah satu, mereka tidak dibenarkan membawa beg yang beratnya melebihi 2.5 kilogram (kg), manakala bagi murid yang berusia 12 tahun, mereka hanya boleh membawa beg sekolah yang tidak melebihi 4.2kg.
“Kami pernah menemui beg seberat 20 hingga 30 peratus daripada berat tubuh kanak-kanak itu kerana mereka membawa buku tulis, buku teks, alat tulis yang berlebihan dan juga kosmetik.
“Ini bahaya kerana ia boleh menyebabkan masalah pada tulang belakang dan sendi,” kata Setiausaha Pendidikan Negeri Nand Kumar yang terlibat dalam pembentukan peraturan tersebut.
Bagaimanapun pihaknya tidak menentukan hukuman yang dikenakan sekiranya peraturan itu dilanggar.
Murid-murid sekolah di India berdepan dengan tekanan untuk meraih yang terbaik dalam pelajaran. Hal itu membuatkan mereka membawa material pembelajaran tambahan ke sekolah.
Selain ibu bapa diminta memeriksa kandungan beg sekolah anak-anak masing-masing, guru-guru juga diminta untuk menyusun kerja sekolah dan jadual belajar dengan bijak supaya murid-murid tidak perlu membawa banyak buku ke sekolah.
#beg sekolah #berat #India #Maharashtra
;