'Negara perlu terus ditadbir kerajaan yang cemerlang' - #WeMalaysia AS
Wan Syamsul Amly
Mei 17, 2016 08:33 MYT
Mei 17, 2016 08:33 MYT
Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) sentiasa sedar keamanan sebuah negara terjamin dengan sebuah kerajaan yang cemerlang.
Koordinator #WeMalaysia - Wilayah Timur AS, Anis Abd Razak berkata, ia asas kemakmuran sekali gus teladan yang harus diambil daripada beberapa negara luar yang bergolak kerana ketiadaan sepakat dalam kerajaan.
"Sebagai duta kecil negara di sini, kami sentiasa menunjukkan contoh dengan mengekalkan keputusan cemerlang, menjadi pemimpin pelajar, boleh menjadi imam, kemahiran bersukan dan sebagainya.
"Ia menjadi asas untuk kami mengekalkan prestasi selain menggunakan ilmu yang ditimba di luar negara untuk berbakti kepada negara kelak," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.
Anis mengulas pertemuan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan kira-kira 30 pelajar Malaysia di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dari beberapa universiti di Washington DC, Virginia, Maryland dan Indiana pada Khamis lalu.
Semasa pertemuan itu, Reezal turut meminta mereka menetapkan sasaran dan misi masing-masing dalam memacu Malaysia mencapai status negara maju.
Dalam pada itu kata Anis, pelajar juga turut berpuas hati dengan penerangan Reezal mengenai isu 1MDB, mata wang serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) semasa pertemuan tersebut.
"Reezal memberitahu isu 1MDB itu sengaja digunakan pembangkang untuk menghentam kerajaan. Selain itu isu Ringgit dijelaskan sebagai satu mata wang terbaik di mana ia mampu bangun dengan lebih cepat berbanding negara-negara lain.
"Dalam isu GST pula, Reezal memberitahu, ia satu keperluan kepada negara lebih-lebih lagi apabila kejatuhan mendadak harga minyak dunia baru-baru ini. Impaknya juga disifatkan masih lagi terkawal," jelasnya.
Sebelum ini, pelajar Malaysia di AS lega pengukuhan Ringgit berbanding dolar AS sejak awal April memberi harapan besar tanda pemulihan ekonomi negara.
Ia sekali gus bukti ekonomi negara kekal kukuh walaupun masih ada kebimbangan terhadap kegawatan ekonomi China dan kejatuhan harga minyak mentah dunia.
#WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, #WeMalaysia mempunyai cawangan di AS, Australia dan United Kingdom (UK).