Negara-negara Islam keluarkan respons bersama terhadap penghinaan al-Quran di Eropah - Turki
Bernama
Julai 29, 2023 18:52 MYT
Julai 29, 2023 18:52 MYT
ISTANBUL: Negara-negara Islam akan memberikan respons kolektif terhadap demonstrasi membakar al-Quran di Eropah baru-baru ini selepas mesyuarat tergempar menteri-menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Menteri Luar Turki Hakan Fidan pada Jumaat.
Mesyuarat tergempar menteri-menteri luar OIC akan berlangsung pada 31 Julai untuk membincangkan situasi dengan menghina al-Quran di Sweden dan Denmark, lapor Sputnik memetik Kementerian Luar Iran pada Rabu.
"Pada mesyuarat ini, OIC akan menyuarakan bantahan terhadap perbuatan mencemarkan al-Quran. Saya pasti beberapa keputusan akan dibuat. Buat pertama kalinya, dunia Islam akan mengambil tindakan dan menyatakan pendirian bersama, " kata Fidan pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya dari Hungary, Peter Szijjarto, di Budapest.
Ankara berpendapat adalah satu kesilapan untuk menganggap tindakan sedemikian sebagai kebebasan bersuara, tambah menteri itu.
Pada 28 Jun, hari pertama cuti umat Islam Eid al-Adha, protes telah berlaku di luar masjid utama Stockholm, di mana al-Quran dibakar. Polis Sweden membenarkan demonstrasi itu. Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson berkata kebenaran itu "sah tetapi tidak sesuai."
Demonstrasi yang serupa berlaku di Sweden pada Januari apabila ahli politik berhaluan kanan Rasmus Paludan membakar kitab suci umat Islam di hadapan kedutaan Turki.
Sejak dua minggu lalu, beberapa demonstrasi membakar al-Quran berlaku di Denmark, yang dilakukan oleh kumpulan pelampau Patriot Denmark, termasuk di hadapan kedutaan Turki
Kebanyakan negara Islam telah mengutuk demonstrasi itu, dan ada yang memanggil duta Sweden dan Denmark bagi menyatakan bantahan.
Demonstrasi membakar al-Quran di Sweden juga merupakan antara punca Turki menghalang penyertaan Stockholm menyertai NATO.
--BERNAMA-SPUTNIK