Negara manakah yang paling menjauhi nilai agama?
Astro Awani
April 21, 2015 18:31 MYT
April 21, 2015 18:31 MYT
DALAM sebuah kajian global minggu lalu mendapati bahawa negara paling berpopulasi tinggi adalah negara yang paling tidak beragama.
Kajian tersebut menunjukkan sebanyak 90 peratus daripada penduduk di China menganggap diri mereka Atheis atau tidak beragama.
Kaji selidik tersebut dilakukan di 65 buah negara itu dijalankan pihak Gallup International dan WI Network (WIN) berdasarkan pada 63,898 wawancara.
Walaupun China mempunyai tradisi keagamaan yang mendalam, namun pemerintahan Komunis selama berdekad-dekad telah membentuk fahaman tidak percaya kepada konsep agama dan ketuhanan.
China mendahului senarai dalam kajian tersebut dan diikuti negara-negara di Eropah. Rakyat Sweden dan Czech juga mendakwa bahawa mereka Atheis atau tanpa agama.
Sweden pula dilihat menjadi lebih sekular saban tahun dan perkembangan itu telah memutuskan ikatan antara populariti tradisi Krismas atau Easter dengan komitmen agama yang sebenar.
Pemerintah Sweden juga ‘bersetuju’ dengan kajian itu melalui kajian mereka sendiri yang mendapati hanya lapan peratus rakyatnya menghadiri acara keagamaan secara konsisten.
Peta dunia yang menunjukkan indeks negara-negara dengan warna gelap bermakna semakin ramai populasinya mengaku tidak beragama atau menjauhi konsep keagamaan dan ketuhanan. - Grafik Astro AWANI, sumber Gallup International/WIN
Eropah Barat iaitu dimulai dengan United Kingdom dan diikuti Belanda, Jerman, Switzerland, Sepanyol dan Austria merupakan saki baki rantau dengan 50 peratus atau lebih daripada populasinya selesa tanpa agama. Perancis juga menunjukkan statistik yang sama.
65 peratus penduduk Israel juga mengakui mereka tidak beragama dengan kebanyakan orang Yahudi hanya memilih amalan keagamaan tertentu dan mendakwa diri mereka sekular.
Di Tebing Barat dan Gaza, hanya 19 peratus responden menganggap diri mereka tidak terlalu mengikuti komitemen keagamaan.
Sementara itu, dalam satu bahagian kajian tersebut menunjukkan trend yang berbeza iaitu mereka yang berusia kurang daripada 34 tahun dilihat lebih patuh pada agama berbanding golongan responden berusia.
Hal itu sedang berlaku di Amerika Syarikat dan ia telah mengubah perspektif tentang generasi baharu di negara berkenaan.
Selain usia, faktor pendidikan juga menjadi pembolehubah dalam kajian Gallup International itu.
“Mereka yang tidak mempunyai pencapaian pendidikan dikenal pasti sebagai kelompok yang lebih patuh kepada agama. Begitupun, orang yang patuh pada agama kekal menjadi majoriti dalam semua tahap pendidikan,” rumus kajian itu.
FAKTOR PENDAPATAN
Analisa seterusnya adalah dengan mengambil kira faktor pendapatan. Kajian mendapati bahawa kurang daripada 50 peratus daripada mereka yang termasuk dalam golongan berpendapatan sederhana tinggi dan tinggi menganggap diri mereka patuh pada agama.
“Pada masa yang sama, 70 peratus golongan berpendapatan rendah, sederhana rendah dan sederhana mengakui mereka taat pada komitmen agama,” jelas kajian itu yang mendapati tahap kepatuhan agama bagi sesebuah negara mempunyai kaitan langsung dengan keluaran dalam negara kasar per kapita.
Senarai negara paling tidak beragama ini bagaimanapun bukan menunjukkan penurunan soal kepercayaan agama. Di seluruh dunia, enam daripada 10 orang mengakui mereka percaya pada agama.
Afrika dan Asia Barat pula nisbahnya lapan kepada 10 dan diikuti negara Eropah Timur, Amerika dan Asia.
“Dengan trend peningkatan golongan muda yang patuh kepada agama di seluruh dunia, kita boleh menjangkakan bilangan mereka akan terus bertambah,” ujar Presiden Win Gallup International Jean-Marc Leger.
Antara 65 negara yang dikaji, Thailand mendahului senarai sebagai negara yang paling patuh pada agama dengan 94 peratus populasinya komited pada agama mereka. Armenia, Bangladesh, Georgia dan Maghribi mengikuti selepas Thailand dalam senarai tersebut.