Negara G-20 ikrar percepat bantuan ke Afghanistan

Astro Awani
Oktober 13, 2021 08:17 MYT
Mario Draghi bercakap pada sidang media di penghujung sidang kemuncak secara maya kumpulan negara G20 membincangkan mengenai Afghanistan di Rom, 12 Okt, 2021. (Foto AP)
KUMPULAN 20 negara (G-20) berikrar untuk mempercepatkan bantuan ke Afghanistan, di tengah-tengah kebimbangan krisis kemanusiaan dan kewangan negara itu akan menjadi lebih teruk pada musim sejuk.
Pemimpin G-20 juga menuntut agar kerajaan Taliban membenarkan akses kemanusiaan ke seluruh Afghanistan, membuka lapangan terbang Kabul dan sempadan negara itu, serta memastikan keselamatan kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sukarelawan dan diplomat.
Mereka juga mengulangi tuntutan sebelum ini agar hak wanita dihormati.
Perdana Menteri Itali Mario Draghi memberitahu media pada Selasa, rundingan diperlukan dengan Taliban untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Bagaimanapun, rundingan tersebut bukan merupakan pengiktirafan politik terhadap Taliban.
"Sekarang kita harus menangani krisis kemanusiaan, itu perkara pertama. Sekiranya perlu untuk menghubungi Taliban, ia akan dilakukan, tidak ada pilihan lain.
"Peranan mereka penting untuk memberi jawapan kepada perkara ini, supaya respons ini berkesan, tetapi ini tidak bermaksud wujudnya pengiktirafan.
"Pengiktirafan harus melalui penilaian ke atas Taliban ke atas sebarang perbuatan mereka, bukan kata-kata mereka," kata Draghi, bercakap pada sidang media secara maya di Rom.
Dalam pertemuan itu, Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan pakej sokongan bernilai 1 bilion euro, merangkumi 300 juta euro yang telah diberikan sebelumnya.
Sasarannya hanya untuk penduduk Afghanistan dan negara-negara jiran.
PBB sebelum ini telah memberi amaran bahawa ekonomi Afghanistan berada di ambang kehancuran.
Afghanistan, sebelum pengambilalihan Taliban bergantung kepada bantuan antarabangsa yang menyumbang 75% perbelanjaan negara, kini bergelut dengan krisis kecairan kerana aset dibekukan di Amerika Syarikat dan negara-negara lain.
Pada masa sama, pengeluaran dari organisasi antarabangsa juga ditangguhkan.
#kumpulan 20 negara #Afghanistan #bantuan kemanusiaan #Taliban
;