Negara CIS, BRICS mungkin penerima awal vaksin Sputnik V
Bernama
Ogos 18, 2020 12:42 MYT
Ogos 18, 2020 12:42 MYT
Negara Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS), BRICS dan negara sahabat yang lain mungkin menjadi penerima asing pertama vaksin COVID-19 Rusia, Sputnik V, kata Profesor Ruslan Abramov dari Universiti Ekonomi Plekhanov Rusia.
Minggu lalu, Rusia mendaftarkan vaksin COVID-19 pertama di dunia, yang dibangunkan Institut Gamaleya di Moscow disokong Kementerian Pertahanan dan Dana Pelaburan Langsung (RDIF).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RDIF Kirill Dmitriev, negara itu telah menerima permintaan awal untuk 1 bilion dos vaksin daripada lebih 20 negara.
"Keutamaan mungkin diberikan kepada negara antaranya CIS, China, India, Brazil, Serbia dan negara Eropah timur yang lain," kata Abramov kepada Sputnik.
Pada masa sama, katanya, terlalu awal untuk bercakap mengenai Sputnik V sebagai projek komersial dan Rusia terlebih dahulu akan memenuhi keperluannya sendiri.
"Ada beberapa alasan untuk itu. Pertama, kita harus benar-benar memastikan vaksin itu selamat dan berkesan dalam jangka panjang. Kemudiannya, ia harus memenuhi permintaan di pasaran domestik. Dan hanya selepas itu kita boleh membincangkan mengenai aspek komersial," jelasnya.
Menurut Abramov dunia kini menyaksikan fasa baharu "perlumbaan vaksin" dan Rusia terus berada di hadapan.
"Tetapi hanya masa akan menentukan sama ada kepemimpinan ini akan berterusan dan diperkukuh. Jangan lupa banyak negara di dunia mempunyai pusat virologi yang menghasilkan vaksin dan mempunyai rekod baik," kata Abramov.
Meskipun negara Barat kelihatan kurang yakin dengan vaksin Sputnik V, yang belum lulus ujian klinikal tahap tiga, pakar itu percaya bahawa ia selamat dan berkesan.
-- BERNAMA
#berkesan
#BRICS
#CIS
#COVID-19
#daftar
#Institut Gamaleya
#Kirill Dmitriev
#komersial
#Moscow
#Negara Komanwel Negara-Negara Merdeka
#pakar
#pasaran domestik
#penerima awal
#RDIF
#Rusia
#Ruslan Abramov
#selamat
#Sputnik V
#ujian klinikal
#universiti
#vaksin