Negara anggota WHO lanjutkan perbincangan perjanjian pandemik setahun lagi

Bernama
Jun 2, 2024 18:30 MYT
WHO bersetuju pada Sabtu untuk melanjutkan perbincangan mengenai perjanjian pandemik selama setahun lagi. -Gambar fail/Reuters
GENEVA: Negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersetuju pada Sabtu untuk melanjutkan perbincangan mengenai perjanjian pandemik selama setahun lagi, memberikan lebih banyak masa yang diperlukan untuk memuktamadkan perjanjian bersejarah bagi memerangi pandemik masa depan dan meningkatkan kesiapsiagaan, lapor Xinhua.

Ringkasan AI
  • Negara anggota WHO bersetuju melanjutkan perbincangan mengenai perjanjian pandemik selama setahun lagi untuk memberi lebih banyak masa bagi memuktamad perjanjian dalam memerangi pandemik masa depan dan meningkatkan kesiapsiagaan.
  • Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) akan meneruskan mandatnya untuk menyampaikan perjanjian itu menjelang Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang akan datang pada 2025, atau lebih awal pada sesi khas perhimpunan kesihatan pada 2024.
  • Perhimpunan Kesihatan Sedunia tahun ini juga bersetuju dengan pakej pindaan kepada instrumen antarabangsa lain, Peraturan Kesihatan Antarabangsa (2005) (IHR), yang memperkenalkan definisi darurat pandemik untuk mencetuskan kerjasama antarabangsa yang lebih berkesan dalam tindak balas kepada potensi pandemik.

Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB), yang ditubuhkan pada Disember 2021 untuk merangka perjanjian dan membimbing proses rundingan, akan meneruskan mandatnya untuk menyampaikan perjanjian itu menjelang Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang akan datang pada 2025, atau lebih awal, jika boleh, pada sesi khas perhimpunan kesihatan pada 2024.
"Terdapat kesepakatan jelas dalam kalangan semua negara anggota mengenai keperluan untuk instrumen tambahan bagi membantu dunia memerangi pandemik dengan lebih baik," kata Pengerusi Bersama INB, Precious Matsoso.
Perhimpunan Kesihatan Sedunia tahun ini juga bersetuju dengan pakej pindaan kepada instrumen antarabangsa lain, Peraturan Kesihatan Antarabangsa (2005) (IHR), yang memperkenalkan definisi darurat pandemik untuk mencetuskan kerjasama antarabangsa yang lebih berkesan dalam tindak balas kepada potensi pandemik.
Pindaan itu akan memperkukuh keupayaan negara-negara untuk mengesan dan bertindak balas terhadap wabak dan pandemik masa depan dengan memperkuatkan kapasiti nasional mereka, serta koordinasi antara negara anggota, dalam pengawasan penyakit, perkongsian maklumat dan tindak balas, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
"Pengukuhan IHR hari ini memberikan momentum yang kuat untuk menyelesaikan Perjanjian Pandemik, yang setelah dimuktamadkan dapat membantu mencegah pengulangan kemusnahan terhadap kesihatan, masyarakat, dan ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19," kata ketua WHO itu lagi.
--BERNAMA-XINHUA
#WHO #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Tedros Adhanom Ghebreyesus #pandemik
;