Negara anggota UN-Habitat setuju rumah adalah hak asasi manusia
Dzulfitri Yusop
Jun 9, 2023 06:40 MYT
Jun 9, 2023 06:40 MYT
NAIROBI: Perhimpunan UN-Habitat (UNHA) yang kedua melabuhkan tirai dengan mengambil keputusan yang bersejarah mengenai resolusi ‘Perumahan Mampu Milik untuk Semua'.
Negara-negara anggota bersepakat untuk menjadikan isu perumahan sebagai keutamaan dunia dan merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia.
Memasukkan hak perumahan sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia adalah yang pertama kali dilakukan sejak Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1948.
“Peserta UNHA mengakui bahawa krisis perumahan global memberi kesan kepada semua dan wujud di semua rantau di dunia,” kata Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
"Hampir semua negara menghadapi kesukaran untuk memastikan rakyat mereka mempunyai akses kepada perumahan yang mampu milik dan mencukupi.
“Di seluruh dunia, 1.6 bilion orang terus tinggal dalam tempat perlindungan yang tidak mencukupi.
“Kita harus bertindak sekarang untuk mencipta masa depan bandar yang lebih baik bagi mereka," katanya.
Menurut resolusi itu, satu kumpulan kerja antara kerajaan yang tidak berhad akan ditubuhkan untuk menghimpunkan Negara-Negara Ahli untuk mengkaji penyediaan perumahan yang mampu milik.
Resolusi itu mengesyorkan wujudnya platform untuk mengumpul dan menyatukan data perumahan bagi memahami keperluan dan kesenjangan yang wujud bagi menyelesaikan masalah yang wujud.
Sesi kedua UNHA ini secara keseluruhan telah mencapai 10 resolusi, 5 keputusan prosedur dan satu Deklarasi Menteri.
Resolusi mengenai perumahan yang mencukupi diketuai oleh Kenya, Bahrain, Perancis, Jordan, Mesir, Pakistan, dan Amerika Syarikat.
Malaysia pula bersama Brazil, Mesir, Sepanyol, Botswana, Chile, Sweden dan beberapa negara lain mengetuai resolusi mengenai merakyatkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat akar umbi.