Negara anggota PBB setuju lanjut tempoh siasatan di Syria
Astro Awani
Mac 23, 2013 16:29 MYT
Mac 23, 2013 16:29 MYT
Puluhan negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju untuk melanjutkan tempoh penyiasatan ke atas pencabulan hak asasi manusia Syria dalam perang saudara, untuk tempoh setahun lagi.
Dengan undian 41 menyokong manakala satu membantah, Majlis Hak Asasi Manusia PBB memberikan kuasa kepada empat pakar bebas untuk meneruskan siasatan mereka sehingga 14 Mac tahun hadapan.
Keputusan tersebut juga dilihat keazaman PBB untuk mengheret mereka terlibat ke muka pengadilan.
Venezuela merupakan negara tunggal yang membantah keputusan itu.
Manakala Ecuador, India, Kazakhstan, Filipina dan Uganda berkecuali.
Bagaimanapun, keputusan tersebut ditolak sekeras-kerasnya oleh duta Syria ke Geneva, Faysal Khabbaz Hamoui.
Awal bulan ini, panel tersebut yang diketuai oleh diplomat dari Brazil, Paulo Sergio Pinheiro mendakwa, pihaknya sedang mengutip bukti-bukti mengenai 20 insiden pembunuhan beramai-ramai di Syria.
PBB menganggarkan lebih 70,000 rakyat terkorban dalam konflik berdarah yang bermula dua tahun lalu.