Negara anggota EU setuju lakukan pembaharuan dalam sistem suaka

Bernama
Jun 9, 2023 06:00 MYT
Sebanyak 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis mencapai persetujuan untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem suaka. - Foto fail/REUTERS
ATHENS: Sebanyak 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis mencapai persetujuan untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem suaka.
Presidensi Sweden Majlis EU mengumumkan di Twitter bahawa menteri dari negara anggota bersetuju dengan pendekatan umum mengenai Peraturan Pengurusan Suaka dan Migrasi dan Peraturan Prosedur Suaka pada mesyuarat Majlis Kehakiman dan Hal Ehwal Dalam Negeri.
"Fail-fail ini membentuk dua tonggak utama pembaharuan sistem suaka EU dan merupakan kunci kepada keseimbangan yang baik antara tanggungjawab dan perpaduan.
"Kerja keras beberapa Presiden telah menyumbang kepada keputusan yang telah kami capai hari ini," lapor Agensi Anadolu memetik laporan majlis itu.
Menurut penyiar awam Greek ERT, berdasarkan persetujuan yang buat pertama kalinya tercapai, mekanisme perpaduan mandatori yang ditunggu-tunggu, sedang diwujudkan.
Bercakap kepada agensi berita kerajaan Itali, ANSA, Menteri Dalam Negeri Matteo Piantedosi berkata negara itu gembira dengan persetujuan itu.
"Kami mengelak hipotesis bahawa Itali dan semua negara anggota kemasukan pertama akan dibayar untuk mengekalkan pendatang tidak tetap di wilayah mereka.
"Itali tidak akan menjadi pusat pengumpulan pendatang bagi pihak Eropah. Kami berjaya mendapatkan rangka kerja undang-undang untuk kemungkinan menjalin perjanjian dengan negara ketiga yang selamat, dan kami juga mengelak daripada meletakkan had yang akan mengecualikan sesetengah negara," katanya.
-- BERNAMA
#EU #Kesatuan Eropah #sistem suaka #pengurusan suaka