NDR 2023: Singapura umum bantuan kepada golongan diberhentikan kerja, warga emas
Astro Awani
Ogos 20, 2023 04:00 MYT
Ogos 20, 2023 04:00 MYT
SINGAPURA: Biarpun Singapura berjaya bangkit sepenuhnya daripada pandemik COVID-19, tetapi ia menghadapi pelbagai cabaran baharu yang semakin kompleks.
Berucap di Perhimpunan Hari Kebangsaan 2023, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata, isu peluang pekerjaan dalam bidang baharu antara yang menjadi fokus pentadbirannya.
"Ini penting untuk memperbaharui kompak sosial kita, menentukan Singapura yang kita idamkan, dan cara terbaik untuk mencapainya. Antara perkara yang kita idamkan tentulah kemajuan ekonomi, pekerjaan dan mata pencarian yang mantap.
"Namun keadaan dunia pada masa hadapan dijangka tidak menentu dan terus bergelora. Sungguh pun demikian sebenarnya banyak peluang tersedia bagi mereka yang berani merebutnya. Sektor ekonomi baru sedang bercambah mewujudkan pekerjaan baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan," katanya dalam ucapan yang dibuat dalam tiga bahasa itu.
Untuk membantu pekerja mendapatkan kemahiran baharu dan berpindah ke sektor baharu, kerajaan Singapura telah melancarkan inisiatif seperti Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture.
Namun Lee mengakui proses tersebut tidak mudah, apatah lagi dengan tekanan kewangan yang semakin meningkat dan keperluan untuk menyara keluarga.
Justeru, satu skim sedang dibangunkan untuk menawarkan sokongan kewangan sementara bagi pekerja yang diberhentikan, sambil mereka meningkatkan kemahiran.
"Tekanan kewangan dan tanggungjawab untuk menyara keluarga akan mengganggu pilihan dan fikiran kita jadi susah sekali untuk mengikuti kursus kemahiran. Seringkali kerana terdesak kita terus merebut apa saja pekerjaan yang ditawarkan.
"Pemerintah faham kesusahan yang dihadapi golongan pencari kerja kami mendengar kebimbangan anda dalam soal ini semasa sesi perbincangan ForwardSG.
"Jadi kami sedang melakarkan satu skim yang menawarkan sokongan kewangan sementara bagi pekerja yang diberhentikan semasa anda meningkatkan kemahiran," tambahnya.
Lee juga mengumumkan pengenalan Pakej Majulah untuk golongan yang dipanggil young senior, bagi memenuhi keperluan persaraan mereka dengan lebih baik.
Pakej itu, yang akan menelan belanja kerajaan kira-kira S$7 bilion, terdiri daripada tiga komponen dan akan tersedia untuk 1.4 juta rakyat Singapura berumur 50 tahun ke atas tahun.
Pakej Majulah mempunyai tiga komponen iaitu bonus Earn and Save tahunan untuk mereka yang bekerja, serta simpanan persaraan sekali seumur hidup dan tambah nilai Medisave.
"Kami akan memperkenalkan pakej untuk membantu warga emas muda memenuhi keperluan persaraan anda. Kita namakan Pakej Majulah.
"Ini adalah untuk warga Singapura yang berumur 50 tahun ke atas tahun ini. Dilahirkan pada tahun 1973 atau lebih awal. Ia akan memberi manfaat kepada mereka yang berpendapatan rendah dan kurang kaya. Sokongan akan berperingkat bergantung pada pendapatan anda dan simpanan CPF anda," katanya.