Navalny disekat, Putin tiada pencabar
APTN
Disember 25, 2017 06:13 MYT
Disember 25, 2017 06:13 MYT
Harapan calon pembangkang utama Rusia, Alexei Navalny untuk bertanding dalam pilihan raya presiden menentang Vladimir Putin berkubur.
Sehari selepas mengumumkan hasratnya untuk mencabar Putin, Suruhanjaya Pilihanraya Pusat Rusia mengumumkan Navalny tidak layak untuk bertanding.
Menurut suruhanjaya berkenaan, ini kerana Navalny pernah didapati bersalah dalam kes penipuan pada 2014.
Navalny hanya boleh bertanding jika dia diberikan pengeculian khas atau keputusan itu mahkamah dibatalkan.
Dalam satu mesej selepas keputusan berkenaan diumumkan, Navalny menggesa penyokongnya memboikot pilihan raya tersebut.
Tegasnya, pilihan raya Mac depan adalah untuk Putin dan orang yang dipilih oleh Presiden Rusia itu.
Navalny menegaskan sebarang undian yang dibuat adalah untuk menyokong penipuan dan penyelewengan.
Perkembangan ini dijangka memberikan lebih ruang kepada Putin yang akan bertanding untuk penggal keempat menang mudah dalam pilihan raya pada 18 Mac itu.
Navalny dan jentera seramai 200,000 orang sebelum ini giat mengadakan kempen untuk meraih sokongan di serata akar umbi Rusia.
Navalny mendapat pencalonan dan sokongan daripada 16,000 orang untuk bertanding dalam pilihan raya berkenaan.
Dia dilihat calon paling berpotensi mencabar Putin, namun ramai yang melihat, keputusan mahkamah berkenaan kes penipuannya adalah untuk menghalang sebarang cita-cita politiknya.