NATO tetap komited elak pertembungan langsung dengan Rusia berhubung Ukraine

Bernama
Mei 27, 2024 06:40 MYT
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tetap komited untuk mengelakkan pertembungan langsung dengan Rusia berhubung Ukraine dan ini kekal sebagai matlamat utama. - Foto fail/REUTERS
MOSCOW: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tetap komited untuk mengelakkan pertembungan langsung dengan Rusia berhubung Ukraine dan ini kekal sebagai matlamat utama, lapor Sputnik, memetik Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg pada Isnin.
"Tugas lain adalah untuk menghalang perang ini daripada meningkat melangkaui Ukraine, menjadi perang penuh antara ... Rusia dan NATO di Eropah ... kita tidak akan menjadi pihak dalam konflik ini," kata Stoltenberg pada sesi Perhimpunan Parlimen NATO di Sofia.
Stoltenberg juga mengesahkan bahawa beliau menyokong pencabutan sekatan penggunaan senjata Barat ke atas "sasaran sah" di wilayah Rusia.
NATO tidak mempunyai rancangan untuk melatih anggota tentera di wilayah Ukraine, kata Setiausaha Agung itu, sambil menyatakan bahawa rangka kerja baharu dalam NATO yang dirancang untuk dipersetujui pada sidang kemuncak Washington, akan membolehkan bantuan yang lebih berkesan kepada Ukraine, termasuk dalam latihan anggota tentera.
"Saya telah mencadangkan agar kita bersetuju pada sidang kemuncak itu mengenai peranan NATO yang lebih besar dalam menyelaraskan dan menyediakan bantuan keselamatan serta latihan untuk Ukraine," kata Stoltenberg.
--BERNAMA-SPUTNIK
#NATO #elak pertembungan langsung #Rusia #Ukraine
;