NATO: Perancis akan perkukuh kerjasama pertahanan dengan Sweden, Finland

Bernama
Mei 17, 2022 17:05 MYT
Perancis berikrar "berganding bahu dengan Finland dan Sweden" sekiranya kedaulatan kedua-dua negara terancam. - Gambar hiasan/ Reuters
MOSCOW: Perancis bersedia untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dan keselamatan dengan Sweden dan Finland dalam usaha kedua-dua negara untuk mendapatkan keahlian NATO, lapor Sputnik.
"Perancis mengesahkan komitmen dan solidaritinya di bawah Artikel 42.7 Perjanjian Kesatuan Eropah, dan bersedia untuk meningkatkan kerjasama keselamatan dan pertahanannya dengan kedua-dua rakan kongsi, termasuk melalui rundingan politik peringkat tinggi dan interaksi ketenteraan," memetik kenyataan Istana Elysee pada Isnin.
Selain itu, Perancis berikrar "berganding bahu dengan Finland dan Sweden" sekiranya kedaulatan kedua-dua negara terancam.
Terdahulu, Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Store berkata Oslo, bersama Copenhagen dan Reykjavik, menyatakan akan menyokong Helsinki jika terdapat ancaman ketenteraan.
Store berkata keahlian dalam NATO dijangka memudahkan keupayaan pertahanan kolektif dan mengukuhkan keselamatan di Atlantik Utara. Finland dan Sweden sudah memenuhi syarat untuk menyertai pakatan tentera itu.
Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg pada Ahad berkata perikatan itu mengalu-alukan Finland dan Sweden dan berjanji untuk mempercepatkan permohonan keahlian mereka.
Namun proses penyertaan mungkin mengambil masa sehingga beberapa bulan, kerana semua anggota NATO mesti mengesahkan protokol penyertaan di peringkat nasional, dengan bantahan Turki mungkin akan melewatkan proses itu.
-- BERNAMA
#krisis Rusia-Ukraine #Sweden #Finland #NATO
;