NATO lantik PM Belanda Mark Rutte sebagai Setiausaha Agung
Bernama
Jun 26, 2024 18:18 MYT
Jun 26, 2024 18:18 MYT
BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah melantik Perdana Menteri Belanda yang akan meletak jawatan Mark Rutte untuk menggantikan Jens Stoltenberg sebagai setiausaha agung perikatan itu pada Oktober, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik satu kenyataan pada Rabu.
Stoltenberg mengalu-alukan pemilihan Rutte sambil berkata bahawa perdana menteri Belanda itu merupakan "seorang trans-Atlantis sejati, pemimpin yang kuat dan pengasas konsensus".
"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya ketika NATO terus teguh mendepani cabaran hari ini dan esok.
"Saya tahu saya menyerahkan kepimpinan NATO kepada seseorang yang layak," katanya.
Penggal Stoltenberg dijadual tamat pada 1 Oktober. Rutte menjadi pilihan utama jawatan itu selepas menerima sokongan dari Amerika Syarikat, Jerman dan Britain.
-- BERNAMA