NATO lanjut kontrak Stoltenberg setahun lagi
Astro Awani
Julai 4, 2023 07:15 MYT
Julai 4, 2023 07:15 MYT
BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melanjutkan kontrak Setiausaha Agungnya, Jens Stoltenberg selama setahun lagi.
NATO memilih untuk kekal dengan pemimpin yang berpengalaman, ketika pakatan itu berdepan ancaman perang di negara-negara anggotanya.
Stoltenberg yang juga bekas Perdana Menteri Norway, telah menjadi ketua NATO sejak 2014 dan tempoh perkhidmatannya telah dilanjutkan tiga kali sebelum ini.
Keputusan itu menjamin kesinambungan kepimpinan NATO ketika 31 anggotanya bergelut dengan cabaran untuk menyokong Ukraine dalam menangkis pencerobohan Moscow sambil mengelakkan konflik langsung antara NATO dan pasukan Rusia.
Stoltenberg, 64, mempunyai imej yang sangat positif dalam kalangan negara anggota.
Beliau dianggap mempunyai gaya kepimpinan yang mantap sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Agung NATO.
Keputusan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya hingga 1 Oktober 2024, dibuat menjelang sidang kemuncak pemimpin NATO di Vilnius, Lithuania, minggu depan.